Pemain berusia 17 tahun yang memenangi Cabaran Golf Tan Sri Muhyiddin pada Mac, mengetepikan dua rakan sepasukannya Natasha Andrea Oon dan Liyana Durisic, dalam perlawanan ‘play-off’ selepas ketiga-tiga mereka terikat dengan satu di atas par 144, selepas dua pusingan.

Winnie amat gembira dengan kemenangan itu, terutamanya selepas beliau baharu sahaja menduduki peperiksaan ‘International General Certificate of Secondary Education’ (IGCSE), baru-baru ini.

“Saya tidak menjangkakan akan kembali cergas dalam permainan saya secepat ini, tetapi mungkin kerja keras saya selepas peperiksaan, berbaloi. Perasaan saya amat gembira sekali untuk menang semula,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan penganjur di sini hari ini.

Sementara itu, pemain Singapura, Low Wee Jin meneruskan permainan baiknya di Malaysia selepas memenangi kategori lelaki.

Pelajar jurusan pemasaran perniagaan di Institut Pengurusan Singapura yang menduduki tempat kedua di Terbuka Amatur Malaysia dan tempat lima terbaik di Kejohanan Amatur Saujana dua minggu lepas, mengalahkan pemain Malaysia, Muhammad Afif Fathi dalam ‘play-off’ selepas kedua-dua mereka terikat pada par 144.

“Ini kemenangan pertama saya, hanya selepas menyertai empat kejohanan tahun ini, jadi ia satu perkara yang bagus untuk menghadapi musim yang sibuk ini,” kata Wee Jin.

Terdahulu, jawatankuasa penganjur memutuskan mengurangkan permainan dari 72 lubang ke 36 sahaja disebabkan cuaca yang tidak menentu, dan mereka kemudiannya memutuskan juara ditentukan melalui ‘play-off’ bagi memecahkan kedudukan seri, pada kedua-dua kategori lelaki dan wanita.

Kejohanan yang disahkan Persatuan Golf Malaysia dan disokong Tourism Selangor diadakan bagi memperkenalkan Selangor sebagai sebuah destinasi pelancongan golf di Malaysia. - BERNAMA