Bantuan itu diterjemahkan dalam satu majlis jamuan hari raya meraikan seramai 220 kanak-kanak anak yatim dan golongan asnaf dari tiga buah rumah kebajikan termasuk Rumah Kasih Harmoni, Sungai Buloh dan Rumah Kebajikan Islam Peribadi Mulia, Kajang, di kelab tersebut baru-baru ini.

Selain jamuan makan, pihak Tropicana Golf and Country Club juga turut menyumbang RM10,000 kepada setiap rumah kebajikan sementara kanak-kanak yang hadir menerima duit raya dan cenderahati dengan jumlah keseluruhan sumbangan bernilai RM40,000.

Menurut jurucakapnya, sambutan Aidilfitri itu merupakan acara yang diadakan setiap tahun dengan menjemput seluruh penghuni tiga buah rumah kebajikan berlainan untuk diraikan.

Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2019 itu diserikan dengan gelagat pengacara terkenal Helmi Gimik yang menjadi hos dalam majlis berkenaan.

Sementara itu, beberapa orang anak yatim yang ditemui meluahkan perasaan suka duka mereka apabila terpaksa berpisah dengan orang yang tersayang akibat kesempitan hidup.

Tidak dapat digambarkan bagaimana perasaan seorang anak kecil yang baharu berusia dua tahun namun terpaksa berjauhan dengan ibu bapa akibat masalah kewangan.

Itulah cabaran dihadapi bagi kanak-kanak, Muhammad Badruddin, 3, yang tinggal bersama enam beradiknya di Rumah Anak Kesayanganku milik Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Anak Kesayanganku di Bukit Beruntung, Selangor.

Luluh hati mendengar tangisan setiap malam mencari ibunya, sedangkan umum tahu kanak-kanak seusia itu pasti mencari susu ibu sebelum melelapkan mata.

Menurut kakak sulungnya, Jaliah Othman Affan, 12, dia dan adik-adiknya iaitu Asiah, Muhd. Luqmanurhakim, Nur Wasilah, Nimas dan Muhammad Badruddin dihantar oleh kedua ibu bapa mereka kerana kesempitan hidup.

“Lebih seminggu Budin (Muhammad Badruddin) menangis setiap malam sebelum tidur kerana mencari ibu untuk menyusu sebelum tidur.

“Mujur kami adik beradik ada, sekurang-kurangnya dapat bantu dia biasakan diri tinggal dengan kami dan rakan-rakan yang lain di sana.

“Kami tinggal di Rumah Anak Kesayanganku sejak tahun lalu kerana ibu dan ayah kata tidak mampu menyara kami sekeluarga kalau hanya ayah seorang yang bekerja,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jaliah berkata demikian ketika menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2019 bersama anak yatim dan golongan asnaf anjuran Tropicana Golf and Country Club di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.