Sebagai langkah permulaan, TPGR mengadakan satu program yang dikenali Program Pengenalan Sukan Golf Untuk Sekolah-sekolah Zon 1 Daerah Pendidikan Pasir Gudang bertempat di TPGR, Pasir Gudang, Johor, baru-baru ini.

Program yang melibatkan seramai 140 guru itu dibahagikan kepada tiga sesi bertujuan memberi pendedahan awal kepada guru-guru mengenai sukan golf sebelum disampaikan kepada para pelajar di setiap sekolah di daerah itu.

Pada sesi pertama 1 Ogos lalu, seramai 51 orang guru hadir menyertai program tersebut dan mereka diberi penerangan mengenai sukan golf yang kini menjadi salah satu sukan yang mampu menjana pendapatan lumayan jika diceburi dengan kesungguhan.

Kesemua ilmu mengenai golf itu disampaikan oleh Pengurus Golf TPGR, Goh Hock Lai merangkap tenaga pengajar profesional.

Hock Lai yang mempunyai pengalaman selama 30 tahun dalam bidang golf dan memiliki lesen pengajaran dari American Golf Teachers Federation berkata, kebanyakan pemain golf bermula pada usia agak lewat iaitu antara 30 hingga 40 tahun ke atas.

Katanya, jika bermula pada usia yang lewat, maka untuk mencapai kejayaan dalam sukan golf di peringkat antarabangsa agak sukar kerana faktor usia.

Justeru katanya, beliau ingin mencari bakat-bakat muda terutama dalam kalangan pelajar sekolah di peringkat rendah kerana dalam lingkungan usia sebegitu adalah masa paling sesuai untuk menyertai sukan golf.

“Dalam sesi pertama program pengenalan sukan golf baru-baru ini, saya memberi penekanan kepada guru-guru supaya meyakinkan pelajar-pelajar yang berminat untuk bermain golf supaya datang ke TPGR.

“Di TPGR kita mempunyai banyak fasiliti seperti driving range, padang golf, putting green untuk mereka belajar dan saya sebagai tenaga pengajar sedia menurunkan ilmu kepada pelajar yang berminat.

“Kebanyakan pelajar sekarang gemar bermain game di telefon pintar, jadi bermain golf dapat menghindarkan mereka daripada tabiat tidak elok itu,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Pada sesi pertama program tersebut juga, selain pendedahan ilmu golf, guru-guru juga turut diajar mengenai teknik pukulan yang betul oleh Hock Lai di driving range.

Sementara itu, rata-rata guru menyambut baik program golf tersebut dan memuji langkah dan usaha yang dilakukan oleh pihak TPGR yang mahu memperkenalkan sukan golf kepada pelajar-pelajar di seluruh sekolah rendah daerah Pasir Gudang.

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang, Mohd. Suhaimi Mat Isa berkata, langkah yang diambil oleh TPGR untuk memperkenalkan sukan golf kepada para pelajar harus disokong kerana ia satu perkembangan yang baik.

Menurutnya, penerangan yang diberikan oleh tenaga pengajar dalam program pengenalan sukan golf kepada guru-guru yang hadir cukup jelas menggambarkan bahawa sukan golf sememangnya mempunyai potensi besar untuk berjaya.

Seorang lagi Guru SMK Kota Masai, Che Siti Rohani Che Ali memberitahu, galakan dan pendedahan mengenai sukan golf seharusnya diberikan kepada pelajar kerana ia boleh memberi jaminan kepada masa depan pelajar.

“Saya percaya sukan golf mampu mengubah taraf kehidupan seseorang pelajar jika diceburi dengan bersungguh-sungguh,” katanya.

Untuk keterangan lanjut, boleh hubungi Bahagian Sukan dan Rekreasi di talian 07-2596128/29.