Rata-rata pemerhati dan peminat golf menjangka karier pemain yang berasal dari Amerika Syarikat (AS) ini akan terus tenggelam seperti dalam dakapan skandal-skandalnya sebelum ini sehingga menyebabkan rumah tangga yang dibina runtuh dan menjejaskan emosi serta permainannya.

Namun begitu, telahan peminat golf ternyata salah dan tersasar jauh apabila pemain berusia 43 tahun ini berjaya melakarkan kejutan dengan menjuarai Kejohanan Masters 2019 sekali gus mengetepikan tiga pencabar rapat dari AS iaitu Dustin Johnson, Xander Schauffele dan Brooks Koepka.

ATLET PALING KAYA

Dilahirkan pada 30 Disember 1975, Tiger Woods atau nama sebenarnya Eldrick Tont Woods menikmati zaman kegemilangannya sejak bergelar sebagai pemain profesional pada usia 20 tahun. Pada April 1997 beliau berjaya mencipta nama dengan memenangi gelaran utama dunia, golf Masters 1997 dan seterusnya berjaya menempatkan diri pada kedudukan pertama dunia pada Jun 1997.

Bagaimanapun prestasi Woods suram seketika sepanjang tahun 1998 sebelum beliau kembali menyinar setahun selepas itu dengan menamatkan musim 1999 dengan lapan kemenangan termasuk kejohanan PGA.

Karier Woods terus gilang gemilang apabila beliau mendominasi kejohanan golf dunia. Malah, pada 2009 Woods juga menjadi ahli sukan pertama di dunia yang mempunyai pendapatan mencecah AS$1 bilion (RM4.13 bilion) dan tahun lalu pula, Forbes menyenaraikan anak kepada pasangan Earl Woods dan Kultida Woods ini dalam kedudukan kedua sebagai atlet berpendapatan tertinggi di dunia dengan aset sebanyak AS$1.7 bilion (RM7.13 bilion).

KECANDUAN SEKS

Era kejatuhan Woods bermula apabila beliau dikaitkan dengan skandal seks dan berlaku curang terhadap isterinya yang juga merupakan model jelita kelahiran Sweeden, Elin Nordegren, 10 tahun lalu.

Lebih memalukan apabila Woods dikatakan mempunyai 10 orang kekasih gelap yang terdiri daripada model bikini, pelayan restoran hingga ke peserta program realiti. Paling mengejutkan apabila terdapat dakwaan bahawa Woods yang mengalami masalah insomia akan berjaga sepanjang malam untuk melakukan seks. Malah terdapat dakwaan Woods mendapatkan dua pelacur sekali gus dengan setiap daripada mereka dibayar sehingga AS$15,000 (RM60,000).

Selepas skandal seks bersama wanita-wanita ini tersebar di seluruh dunia, Woods mula menghilangkan diri dan menjalani rawatan untuk mengatasi masalah kecanduan seks di Montrose Place, Bishopscourt, Cape Town, Afrika Selatan.

Tidak cukup dengan itu, karier Woods juga semakin malap apabila beliau kehilangan wang berjuta-juta selepas penaja utamanya iaitu Accenture, Gillete, Gatorade dan Tag Heur menarik diri sebagai penaja utama kerana tidak mahu terpalit dengan skandal yang sangat memalukan ini.

MENGALAMI KECEDERAAN BERKALI-KALI

Jika atlet lain baru sekali mengalami kecederaan sudah mengaku kalah, berbeza pula dengan Woods, beliau bukan dua atau tiga kali pernah mengalami kecederaan tetapi telah menjalani beberapa kali pembedahan.

Kaki kirinya sahaja telah dibedah sebanyak tiga kali manakala bahagian belakang pula telah dibedah sebanyak tiga kali. Kecederaan yang menimpa Woods bermula sejak Disember 1994 lagi yang memaksanya membuat pembedahan di bahagian lutut kiri.

Kecederaan yang berulang di bahagian sama menyebabkan dia melakukan dua lagi pembedahan masing-masing pada tahun 2002 dan 2008. Selepas sering dibelenggu kecederaan di bahagian kaki, Woods kemudian diuji dengan kecederaan di bahagian belakang sehingga menyebabkannya menjalani sebanyak empat kali pembedahan yang mana pembedahan terakhir dilakukan pada April 2017.

Lebih malang, ranking dunia Woods juga jatuh teruk sehingga ke tangga 1,199 dunia. Ekoran pelbagai masalah yang membelenggunya banyak pemerhati beranggapan Woods tidak mampu lagi untuk kembali kepada prestasi terbaiknya seperti 10 tahun lalu.

KEBANGKITAN LUAR BIASA

Bagaimanapun, telahan itu salah apabila Woods bangkit semula untuk menamatkan kemarau lima tahun tanpa kejuaraan dengan memenangi Jelajah PGA di East Lake pada September tahun lalu. Selepas kebangkitan dramatiknya ini, Woods sekali lagi berjaya melakarkan kejayaan yang disifatkan sangat luar biasa dengan menjuarai Masters 2019 sekali gus menamatkan kemarau kejuaraan utama selama 11 tahun.

Semangat juang luar biasa Woods yang bangkit mencatatkan 70 pukulan pada hari terakhir kejohanan telah menobatkannya sebagai juara dengan kelebihan tipis satu pukulan dan membawa pulang hadiah kemenangan AS$2.07 juta (RM8.5 juta).

Selepas menamatkan penantian panjang ini, Woods kini mempunyai satu lagi misi untuk dipenuhi iaitu kembali ke ranking nombor satu dunia iaitu posisi yang pernah dikecapinya selama 683 minggu di antara tahun 1997 dan 2014. Ketika ini Woods berada pada rangking keenam dunia dengan 7.74 mata manakala rangking pertama dunia dikuasai oleh Dustin Johnson dengan 10.01 mata.

Lebih istimewa, kejayaan Woods ini turut diabadikan oleh penaja utamanya, Nike yang mencipta satu video khas dalam laman Twitter yang menunjukkan aksi Woods sejak berusia tiga tahun dan sehingga kejayaannya memenangi kejuaraan Masters baru-baru ini.

Video yang penuh inspirasi ini turut menyelitkan kata-kata semangat supaya jangan pernah berputus asa dalam mengejar impian yang ‘gila’ bersama tanda pagar #justdoit.