Selepas memenangi gelaran utama dunia ke-15, bulan lalu di Augusta National, Woods kembali mencetuskan persoalan unik buat peminat golf seluruh dunia iaitu ‘Mampukah Tiger menewaskan Jack?’

Nicklaus memiliki 18 gelaran utama dan yang terakhir pada usia 46 tahun dalam Masters 1986, dengan Woods, 43, boleh meningkatkan peluangnya jika menang pada kejohanan ke-101 Kejuaraan PGA di Bethpage Black, minggu depan.

Woods menamatkan kemarau 11 tahun tanpa sebarang kejuaraan utama dengan menyarung Jaket Hijau kelimanya, bulan lalu selepas beberapa tahun bergelut dengan masalah lutut dan belakang sejak memenangi Terbuka Amerika Syarikat (AS) pada 2008.

“Jika badannya mampu bertahan dan dia tidak berdepan sebarang isu, saya rasa peluang untuk dia memecahkan rekod saya adalah amat bagus.

“Dia jelas mencipta kebangkitan terbesar untuk kembali dalam permainan sekali lagi. Saya fikir hayunannya lebih baik berbanding sebelum ini,” kata Nicklaus kepada KXAS-TV di Dallas, minggu ini.

Pembedahan tulang belakang pada 2017, menjadi peluang terakhir Woods mengelak kesakitan belakang dan menjalani kehidupan normal, selain, membenarkannya untuk kembali ke saingan elit golf pada tahun lalu serta bersaing dalam dua kejohanan utama di Terbuka British dan PGA.

Selepas memenangi Masters menggunakan pengalamannya di Augusta National menerusi kekuatan mental dan kemahiran yang mengagumkan, Woods tampak berada di landasan untuk menguasai dua lagi kejohanan utama selepas ini di Bethpage, lokasi dia memenangi Terbuka AS 2002 dan di Pebble Beach yang turut menganjurkan pertandingan sama pada 2000.

Nicklaus, 79, adalah idola Woods sejak kecil dengan kejayaan yang diraih legenda golf itu menjadi motivasi buatnya.

“Saya sentiasa rasa ada kemungkinan. Dia memerlukan keseluruhan kariernya untuk mendapat 18 gelaran. Kini saya memperoleh satu lagi lanjutan dalam karier saya, sesuatu yang saya tidak pernah terfikir akan dapat beberapa tahun lalu.

“Jika saya melakukannya dengan betul dan segala-galanya berjalan dengan lancar, ada kemungkinan. Saya tidak pernah berkata tidak, kecuali beberapa tahun lalu ketika saya tidak boleh berjalan,” kata Woods kepada GolfTV. - AFP