Tajaan tersebut diserahkan Pengarah Primavalet, Dr. Arshad Beg Mirzaja Hanjuan kepada Ketua Pasukan Media Malaysia, Arep Kulal dalam satu majlis ringkas di butik Primavalet di Bangi, kelmarin.

Primavalet yang merupakan hub fesyen terbesar di Malaysia dan dimiliki sepenuhnya oleh bumiputera menganggap media merupakan antara faktor kejayaan syarikat Primavalet sejak ianya ditubuhkan pada tahun 2017.

Berbekalkan reka cipta 25 pereka fesyen tanah air yang menghasilkan lebih 300 model pakaian yang memenuhi permintaan rakyat tempatan, Dr. Arshad merasakan media di Malaysia memainkan peranan paling penting sebagai jambatan penghubung di antara Primavalet dan masyarakat Malaysia.

Atas faktor itu, Primavalet terpanggil untuk bersama-sama membantu Pasukan Media Malaysia untuk misi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada tahun lalu.

“Primavalet sentiasa aktif dalam program-program kemasyarakatan dan perpaduan bersama Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan kini menjadikan sukan sebagai salah satu cabang program CSR kami.

“Justeru apabila diajukan kertas tajaan ini, saya merasakan inilah masa yang paling sesuai untuk saya menyumbang kepada pihak media yang banyak membantu saya selama ini,” ujarnya.

Bercakap mengenai Pasukan Media Malaysia, Dr. Arshad berharap tajaan yang diberi mampu menyuntik semangat kepada para pemain.

“Kalah dan menang adat dalam pertandingan, namun jangan gentar menghadapi lawan. Bermainlah bersungguh-sungguh demi memastikan kejayaan, sekali gus mengharumkan nama negara,” ujarnya dengan penuh semangat.

Sementara itu, Arep pula berkata, pasukannya kini berada dalam keadaan terbaik dan bersedia untuk menghadapi kejohanan pada 10 September nanti.

“Para pemain telah bersedia dan berada pada prestasi terbaik. Saya berharap mereka akan menunjukkan semangat yang tinggi dan mencipta kemenangan selain mengeratkan hubungan silaturahim antara pemain,” ujar Arep ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Kejohanan Golf Piala Causeway yang memasuki edisi ke-12 menemukan pengamal media dari Malaysia dan Singapura yang akan bertarung selama dua hari mengikut format Ryders Cup.

Tuan rumah kejohanan dibuat mengikut giliran dengan Malaysia menjadi tuan rumah pada tahun lalu.

Malaysia telah memenangi Piala Causeway sebanyak tujuh kali dan dalam misi untuk melengkap kejuaraan hatrik sejak tahun 2017. - UTUSAN ONLINE