Pieters dari Belgium menamatkan aksi pusingan kedua di Kelab Golf Saujana & Country, Shah Alam dengan catatan keseluruhan lapan di bawah par 136 pukulan. Empat birdie yang diraih Pieters, hari ini, membantu pemenang tiga kali Jelajah Eropah itu menamatkan aksi 18 lubang dengan catatan tiga di bawah par.

Pemain berusia 27 tahun itu berkata, kesabaran mengawal permainan membolehkan dia kembali meraih pukulan terbaik.

“Pada awal saingan, saya bergelut dengan pukulan tee, malah, saya juga seakan sukar untuk memasukkan bola dengan baik. Bagaimanapun semuanya kembali baik apabila saya mula melakukan birdie di lubang 16 dan pukulan putt juga semakin konsisten,” kata Pieters.

Dalam saingan, hari ini, turut menyaksikan pertarungan berlangsung sengit apabila pemain Sepanyol, Elvira mengetuai aksi pusingan kedua, namun, double bogey di lubang 14 dan bogey di lubang 15 merencatkan dominasinya sekali gus terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua.

Elvira mencatat keseluruhan tujuh di bawah par 137 pukulan selepas melakukan par. Catatan yang tidak begitu baik Elvira telah membuka laluan buat Pieters yang berada di kedudukan kedua pada sebelah pagi untuk melonjak ke tangga teratas. - UTUSAN ONLINE