Nordin yang pernah menjuarai kejohanan yang sama empat tahun lalu mengekalkan rentak permainan cemerlangnya untuk mengalahkan pemain remaja, Justin Chan, 17, di lapangan pernah menjadi lokasi CIMB Classic.

“Saya cukup gembira dengan kemenangan ini. Walaupun diberi saingan sengit oleh pencabar, namun saya berjaya mengawal permainan dengan baik sepanjang kejohanan berlangsung.

“Permainan saya agak longgar di lubang 17, tetapi berjaya mengatasinya pada lubang 18 untuk mencipta 145 pukulan keseluruhan kejohanan,” ujarnya gembira.

Nordin mengatasi Chan dengan kelebihan dua pukulan apabila pemain remaja itu hanya berjaya mengumpul 147 pukulan sepanjang dua hari kejohanan berlangsung.

Dengan kemenangan itu, Nordin berjaya membawa pulang piala dan barangan tajaan Srixon.

Sementara itu, bagi kategori wanita pula, pemain handikap 6, Irene Lam dari Kelab Rekreasi Tentera Udara mencipta kemenangan ketiga berturut sepanjang kejohanan Juara Antara Juara diadakan.

Dia berjaya mengalahkan pencabar terdekatnya, Datuk Azlina Abdul Aziz dari Kelab Golf Tropicana selepas masing-masing terikat pada 165 pukulan selepas dua pusingan dan memaksa mereka masuk ke perlawanan penentuan.

“Saya tidak pernah bermain di playoff sebelum ini. Memang penuh debaran tetapi saya berjaya mengatasinya,” katanya yang turut membawa pulang piala dan peralatan golf Srixon.