Natasha yang mula bermain golf pada usia empat tahun dan pernah menyertai kejohanan Honda Junior Classic, World Junior Callaway dan Junior World Jakarta, menganggap kemenangan Terbuka Malaysia di Kuching itu lebih bermakna berbanding ketika menjadi juara di Kejohanan Gold Rush di Long Beach, Amerika Syarikat Februari lalu.

Pemain berusia 19 tahun itu memulakan saingan hari keempat dengan kelebihan lapan pukulan mengatasi pencabar terdekat, Putri Alya Abdul Ghani yang meraih 75 pukulan, tiga atas par untuk muncul juara kategori wanita buat kali pertama selepas kali terakhir ia dipertandingkan lapan tahun lalu.

Putri Alya yang meraih catatan satu di atas par dalam aksi terakhir terpaksa berpuas hati pada kedudukan kedua manakala seorang lagi pemain kebangsaan, Winnie Ng meraih kedudukan ketiga dengan catatan 68 pukulan pada pusingan terakhir bagi melengkapkan penguasaan Malaysia di kedudukan podium.

Natasha berkata, dia berbangga dengan kemenangan itu meskipun tidak dapat mengulangi catatan 64 pukulan seperti semalam, tetapi dia berpuas hati dengan aksi sepanjang kejohanan itu.

Natasha juga berharap dengan kemenangan itu dapat membuka peluang untuknya diserapkan ke dalam skuad kebangsaan ke Sukan SEA Manila.

Namun, sasaran lebih besar yang diharapkannya ialah dapat menyertai kejohanan LGPA suatu hari nanti.

Putri Alya yang pernah menjuarai Terbuka Johor tahun lalu dilihat turut mempunyai peluang untuk beraksi di peringkat antarabangsa.

Begitu juga dengan Winnie Ng yang pernah menjuarai Cabaran Golf Tan Sri Muhyiddin (TSM) 2019 di TPC Kuala Lumpur, Bukit Kiara, Mac lalu, juga mempunyai bakat tersendiri.

Dengan rekod pencapaian cemerlang setakat ini, mereka mampu diketengahkan sebagaimana Natasha Oon.

Sementara itu dalam kategori lelaki, Lawry Flynn dari Australia mengekalkan aksi bertenaga pada hari terakhir untuk muncul juara edisi ke-117 kejohanan itu.

Pemain berusia 21 tahun itu melakukan 69 pukulan, tiga di bawah par untuk mengumpul 279 pukulan keseluruhan mengatasi pemain Singapura, Low Wee Jin dengan kelebihan satu pukulan.

“Sangat mendebarkan, walaupun saya raih lima birdie, tetapi dua bogey termasuk di lubang 18 membuatkan saya cemas.

“Apa pun kejayaan pertama di Malaysia memang sangat menggembirakan,” kata Flynn.