Pemain berusia 19 tahun itu memulakan saingan hari keempat dengan kelebihan lapan pukulan mengatasi pencabar terdekat, Putri Alya Abdul Ghani yang meraih 75 pukulan, tiga atas par untuk muncul juara kategori wanita buat kali pertama selepas kali terakhir ia dipertandingkan, lapan tahun lalu.

Putri Alya yang meraih catatan satu di atas par dalam aksi terakhir terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua manakala seorang lagi pemain kebangsaan, Winnie Ng meraih kedudukan ketiga dengan catatan 68 pukulan pada pusingan terakhir bagi melengkapkan penguasaan Malaysia di kedudukan podium.

Natasha berkata, kejayaan Terbuka Malaysia adalah lebih bermakna berbanding ketika menjadi juara di Kejohanan Gold Rush di Long Beach, Amerika Syarikat Februari lalu.

“Saya berbangga dengan kemenangan ini. Meskipun tidak dapat mengulangi catatan 64 pukulan seperti semalam tetapi saya berpuas hati dengan aksi sepanjang minggu ini” katanya.

Natasha juga beharap dengan kemenangan ini dapat membuka peluang untuknya diserapkan ke dalam skuad kebangsaan ke Sukan SEA Manila.

Edisi terakhir kategori wanita yang berlagsung pada 2011 juga dimenangi oleh pemain negara, Aretha Pan.

Sementara itu, dalam kategori lelaki, Lawry Flynn dari Australia mengekalkan aksi bertenaga di hari terakhir untuk muncul juara edisi ke-117 kejohanan itu.

Pemain berusia 21 tahun itu melakukan 69 pukulan, tiga di bawah par untuk mengumpul 279 pukulan keseluruhan, mengatasi pemain Singapura, Low Wee Jin dengan kelebihan satu pukulan.

“Sangat mendebarkan, walaupun saya raih lima birdie tetapi dua bogey termasuk di lubang 18 membuatkan saya cemas.

“Apa pun kejayaan pertama di Malaysia memang sangat menggembirakan,” kata Flynn.-UTUSAN ONLINE