Catatan tersebut membolehkan pemain yang berpengkalan di Amerika Syarikat (AS) itu mengumpul 201 pukulan, 15 di bawah par untuk selesa mendahului kejohanan dengan kelebihan lapan pukulan di hadapan seorang lagi pemain negara, Putri Alyaa Abdul Ghani yang bermain par.

Natasha yang juga merupakan penuntut di Universiti San Jose, AS melakukan sembilan birdie pada pusingan ketiga, termasuk enam birdie di sembilan lubang terakhir.

“Saya bermain dengan baik pada hari ini, dan catatan 15 di bawah par merupakan catatan terbaik peribadi saya untuk tiga pusingan.

"‘Putting’ saya sangat bagus pada hari ini dan saya harap ianya akan dapat dikekalkan untuk pusingan akhir,” kata pemain yang berusia 19 tahun itu.

Dua lagi pemain Malaysia, Audrey Tan dan Liyanna Durisic pula berkongsi di tangga ketiga dengan catatan par.

Dalam kategori lelaki, pemain Australia, Lawry Flynn bangkit daripada aksi hambar pada pusingan kedua, untuk melakukan 65 pukulan, tujuh di bawah par pada pusingan ketiga sekali gus melonjak ke kedudukan pendahulu dengan enam di bawah par keseluruhan.

Dia berkongsi kedudukan bersama pemain Singapura, Low Wee Jin yang turut beraksi baik dengan 69 pukulan untuk mara ke pusingan terakhir esok dengan kelebihan dua pukulan ke atas pemain di kedudukan ketiga, Luis Miguel Castro dari Filipina.

Flynn yang ditemui selepas menamatkan saingan 54 lubang itu sangat gembira dengan permainannya hari ini meskipun mencatat satu bogey pada lubang ketiga.

“Saya tidak sabar untuk bermain bersama Low Wee Jin esok, dan berharap dapat mengekalkan kedudukan ini sekali gus bergelar juara,” katanya.

Sementara itu, pendahulu di dua pusingan terdahulu, Malcolm Ting dan Jake William Hughes masing-masing jatuh ke kedudukan ke empat dan tujuh.

Malcolm melakukan 74 pukulan, dua di atas par manakala Jake William sekadar bermain 76 pukulan untuk catatan 216 pukulan keseluruhan.

Dalam perkembangan berbeza, Tan Sri Mohamad Anwar Mohd. Nor mengekalkan kedudukannya selaku Presiden Persatuan Golf Malaysia selepas menang tanpa bertanding pada mesyuarat agong tahunan badan induk golf negara yang turut berlangsung di Kelab Golf Sarawak hari ini. - UTUSAN ONLINE