Memulakan saingan pusingan kedua dengan catatan 33 pukulan, tiga di bawah par pada sembilan lubang pertama, Malcom ternyata hampir menamatkan pusingan tanpa bogey namun tragedi di lubang 18 memaksa beliau akur dengan catatan 70 pukulan, empat di bawah par secara keseluruhan untuk kekal berada di kedudukan pendahulu.

Walaupun kecewa dengan catatan dua bogey di lubang terakhir, Malcolm tetap berpuas hati apabila berjaya menyerap segala tekanan, meskipun sedar saingan yang dihadapi dari pemain lain.

“Saya melakukan banyak pukulan yang baik dan amat berpuas hati dengan putting saya pada hari ini. Walaupun kecewa dengan catatan dua bogey di lubang 18, saya mengambilnya sebagai satu pengajaran yang berharga untuk lebih bijak menyerap tekanan,” kata Malcolm.

Berkongsi sebagai pendahulu, Jake William Hughes dari Australia melakukan catatan 69 pukulan, tiga di bawah par, berbanding catatan pusingan pertama yang sekadar melakukan 71 pukulan, satu di bawah.

Membenam lima birdie, Jake seharusnya mencatatkan keputusan lebih baik jika tidak dihukum dengan catatan dua bogey di lubang ke sepuluh dan enam belas.

Seramai 74 pemain lelaki berjaya melepasi cutt yang ditetapkan pada 14 di atas par untuk beraksi di pusingan ketiga esok.

Sementara itu dalam kategori wanita, pemain Malaysia, Natasha Andrea Oon menggunakan segala pengalamannya untuk terus memberi saingan kepada pendahulu pusingan pertama yang juga rakan sepasukan dari Malaysia, Putri Alyaa Ghanny.

Natasha berjaya melakukan 67 pukulan, untuk jumlah keseluruhan tujuh di bawah par, mendahului bersama Putri Alyaa Ghanny yang melakukan 69 pukulan dalam pusingan kedua hari ini.

Natasha bermula garang dengan melakukan birdie berturutan di lubang satu hingga empat sebelum membenam dua lagi birdie dilubang keenam dan 10, namun catatan bogey di lubang 18 menghalang Natasha untuk melakukan permainan sempurna di pusingan kedua.

“Permulaan yang baik di empat lubang pertama memberi saya semangat dan keyakinan. Saya dapat membaca green dengan baik pada hari ini dan putting yang sempurna membolehkan saya membenam lima birdie dan saya amat berpuas hati,” jelas Natasha yang menuntut di San Jose State University, Amerika Syarikat.

Kejohanan Golf Amatur Terbuka Malaysia kali ke 117 berlangsung selama empat hari dari 20 Jun hingga 23 Jun 2019 di Kelab Golf Sarawak, dengan kategori lelaki bermain di lapangan Matang/Santubong manakala kategori wanita beraksi di lapangan Siol/Demak.

Kejohanan anjuran Persatuan Golf Malaysia (MGA), diuruskan oleh Persatuan Golf Sarawak dengan tajaan sepenuhnya dari kerajaan Negeri Sarawak. Kejohanan kali ini diadakan di bandar Kuching bersempena dengan Tahun Melawat Sarawak 2019.