Dalam perlawanan yang berlangsung selama dua hari menggunakan format foursome, fourball dan individual persis Ryder Cup, pasukan Media Malaysia terikat pada kedudukan 3.5 menyamai pasukan Media Singapura pada hari pertama yang berlangsung di New Tanjong Course, tempat Kejohanan Wanita Dunia HSBC.

Memasuki hari kedua kejohanan di lapangan yang sama, Media Malaysia berjaya mendahului Media Singapura dengan kelebihan dua mata iaitu 8-6.

Pada hari terakhir acara individu di lapangan Serapong Course iaitu lokasi bagi SMBC Terbuka Singapore, Malaysia akhirnya terikat dengan Singapura pada kedudukan 14-14. Namun kemenangan berpihak kepada pasukan Media Malaysia selaku juara bertahan.

Pasukan Media Malaysia diwakili oleh Ahmad Fadali, Mohd. Aminuddin Azman, Andrew Ng, Bayu Adhi Cahyono, Brian Alexis, Brian Goh, Hasbullah Abdul Manaf, Ida Fahany, Imran Mohamad Nor, Mahathir Mohd. Sidi, Mohd. Suhaimi Daud, Roy Chandra, Zaini Salihin dan Zulkarnain Abd Talib.

Turut serta ialah pengasas bersama Piala Causeway, Jonathan Ponniah yang juga merangkap penasihat pasukan Media Malaysia.

Sementara itu, Kapten Pasukan Media Malaysia, Arep Kulal yang berpuas hati dengan pencapaian pasukan Malaysia mengumumkan bandar raya Ipoh sebagai destinasi Kejohanan Golf Piala Causeway edisi ke-13 pada tahun 2020.

Katanya, kerajaan negeri Perak bersama Lembaga Pengalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) telah memberi persetujuan untuk menjadi penaja bersama bagi menjayakan kejohanan Piala Causeway yang menemukan pasukan Media Malaysia dan Media Singapura.

“Selain dari bertanding, kami yakin usaha kami ini dapat membantu mempromosikan Perak dan Bandaraya Ipoh kepada rakan-rakan media di Singapura sempena Tahun Melawat Perak pada tahun hadapan. Kerjasama yang diberi oleh

Kerajaan Negeri Perak dan Tourism Malaysia juga antara faktor utama mengapa kami memilih Bandaraya Ipoh,” ujarnya yang dikekalkan sebagai kapten pasukan bagi tahun 2020.

Piala Causeway yang bermula sejak tahun 2008 merupakan medan persaingan rakan-rakan media dari Malaysia dan Singapura dalam sukan golf.

Tuan rumah dibuat secara bergilir-gilir setiap tahun. Malaysia telah memenangi piala tersebut sebanyak lapan kali dan Singapura empat kali. - UTUSAN ONLINE