“Maaf saya katakan sehingga kini tiada seorangpun pemain profesional negara yang beraksi dalam siri Jelajah PGA bersama barisan handalan dunia. Justeru, kita tanamkan harapan dan semangat yang tinggi agar impian untuk ke arah itu dapat digapai,” katanya lagi dalam temu bual santai di pejabat Akademi SD Golf di Kelab Golf Sultan Abdul Aziz Shah (SAASGCC), Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Menurut Sheikh Darabi, pihaknya telah melantik pemain golf profesional negara seperti Saifubari Muda, Sukree Othman, Shariffuddin Ariffin, Daeng Abdul Rahman dan beberapa lagi jurulatih lain yang mempunyai lesen dalam bidang kejurulatihan golf untuk melatih para pelajar Akademi SD Golf sehingga mereka berjaya.

Selain matlamat melahirkan ‘permata’ yang terus bersinar dalam sukan golf, katanya, Akademi SD Golf juga turut memberi peluang kepada golongan kurang berkemampuan yang minat bermain golf tetapi dikekang oleh masalah kewangan. Pihaknya akan membantu mereka dengan menyediakan segala kemudahan seperti peralatan golf dan fasiliti-fasiliti lain.

Sambil ditemani dua lagi rakan kongsi, Datuk Saiful Tan dan Syed Abdul Halim Syed Abu Bakar, Sheikh Darabi memberitahu, akademi tersebut menyasarkan pelajar-pelajar sekolah peringkat rendah dan menengah seluruh Selangor sebagai pelajar mereka tanpa mengenakan sebarang yuran.

“Bagi fasa pertama, Akademi SD Golf menyasarkan 100 orang pelajar mengikut peringkat usia antara sembilan hingga 10 tahun bagi pelajar sekolah rendah dan usia 13 tahun ke atas bagi sekolah menengah. Untuk peringkat awal, kita akan pergi ke sekolah-sekolah rendah dan menengah berdekatan, merekrut mana-mana pelajar yang berminat dengan syarat mendapat keizinan daripada ibu bapa dan guru.

“Pelajar yang mana ibu bapa mereka tidak mampu menghantar anak belajar bermain golf di Akademi SD Golf, kita akan bantu mereka tanpa mengenakan sebarang bayaran. Kita mahu para pelajar ini berjaya bukan sahaja dalam sukan golf, tetapi juga dalam akademik,” jelasnya.

Sementara itu Saiful memberitahu, selain pelajar sekolah, Akademi SD Golf juga turut memberi peluang kepada orang ramai yang berminat untuk menyertai akademi tersebut tetapi akan dikenakan yuran penyertaan dan pembelajaran yang ditetapkan.

Sebagai permulaan, katanya, akademi itu sudah mengambil dua pemain remaja yang baru sahaja mendapat kad kelayakan PGM sebagai pemain profesional iaitu Alif Fitri Saidin, 20, dan Ezmeer Rezza Merican, 19.

Katanya, mereka akan diberi latihan harian mengikut apa yang dijadualkan dan diajar secukupnya oleh tenaga pengajar profesional untuk diketengahkan dengan lebih jauh sehingga ke pentas antarabangsa.

“Sasaran Akademi SD Golf adalah mahu melahirkan seberapa ramai ‘bintang’ golf yang mampu beraksi di pentas dunia. Justeru, segala program pembangunan sukan golf di akademi ini digariskan dengan seteliti mungkin agar matlamat yang disasarkan itu tercapai.

Mengulas mengenai jadual latihan, Saiful memberitahu, untuk hari Isnin hingga Jumaat antara pukul 7 pagi sampai 3 petang adalah ruang untuk Program Junior Pro iaitu pelajar yang sudah dapat Kad Kelayakan PGM dan mereka akan datang ke sini untuk berlatih setiap hari.

Pada Sabtu dan Ahad pula, tambahnya, pihak akademi lebih tertumpu kepada Program Pembangunan Junior yang bermula pukul 8 hingga 10 pagi.

“Selain itu, terdapat juga segmen pelajar baharu yang mula belajar main golf antara usia 8 hingga 10 tahun, manakala antara pukul 11 pagi hingga 2 petang untuk program pelajar pertengahan yang sudah boleh memukul bola golf dan turun padang.

“Manakala golongan elit seramai lima orang akan turun pada pukul 3 petang ke atas untuk menjalani latihan. Tetapi ramai yang datang berlatih di sini adalah golongan pertengahan yang sudah boleh bermain dan berhasrat ingin pergi ke peringkat lebih tinggi. Maknanya di SD Golf Akademi ada tiga peringkat program iaitu awal, pertengahan dan advanced level,” jelasnya.

Sempena dengan setahun penubuhan Akademi SD Golf nanti, satu kejohanan iaitu SDGA Golf Championship akan diadakan pada 20 Oktober ini di Kelab Golf Sultan Abdul Aziz Shah (SAASGCC).

Kepada mereka yang berminat untuk menyertai Akademi SD Golf atau sebarang pertanyaan boleh menghubungi Saiful di talian +60111-6533775 atau layari www.sdga.com.my dan [email protected]