Terkenal sebagai antara lapangan paling sukar di Malaysia, KGPA menjanjikan cabaran yang berlainan kepada semua pemain yang akan berentap dalam kejohanan yang memasuki edisi ke-14 kali ini.

Permukaan lapangan yang beralun, fairway yang sempit, green yang mengelirukan dengan kelajuan yang sukar dikawal, sudah pasti menunggu dan menguji kehandalan para pemain untuk mencipta keputusan cemerlang.

KGPA juga melakukan kerja-kerja perubahan dan menaik taraf di beberapa green bagi menambah lagi cabaran kepada semua pemain untuk mencipta par mahupun birdie.

Menurut Pengerusi Kejohanan Golf Amatur Terbuka Kuala Lumpur, Datuk Mahat Bahari, lapangan KGPA telah disiapkan lebih awal apabila KGPA dijadikan lapangan Kejohanan Golf Persahabatan sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong bulan lalu.

Bagaimanapun, katanya, kerja-kerja penyelenggaraan lapangan masih diteruskan dan dipertingkatkan lagi menjelang Kejohanan Golf Amatur Terbuka Kuala Lumpur.

“KGPA telah melakukan kerja-kerja naik taraf dan penyelenggaraan lebih awal bagi memastikan lapangan KGPA berada dalam keadaan terbaik,” katanya yang juga Pengurus Besar KGPA.

Bercakap mengenai cabaran yang bakal dihadapi pemain, Mahat optimis, kerja-kerja naik taraf yang dilakukan akan menjadikan permukaan dan wajah green lebih mencabar serta sukar untuk dikuasai.

“Kita melakukan kerja-kerja naik taraf di beberapa green bagi menambah cabaran buat pemain. Lubang 12 tetap kekal sebagai antara lubang paling sukar dan green lubang 15 tetap memerlukan pukulan yang tepat bagi membolehkan bola mendarat di permukaan green jika ingin menguasai green tersebut,” ujarnya.

Dengan mensasarkan kelajuan pada kelajuan 9.5 ke 10 stim meter, cabaran ini pasti menunggu pemain-pemain dari Malaysia, Singapura, Hong Kong dan Austraia.

Malaysia melalui Persatuan Golf Malaysia (MGA) dan Akademi Golf Kebangsaan UUM, menghantar seramai lebih 30 orang pemain untuk bersaing dalam kejohanan kali ini.

Antara pemain pilihan ialah Norharith Norhadi, Sheikh Abd. Razak Eawof dan Marcus Lim yang menjadi pertaruhan terbaik MGA untuk edisi kali ini.

Berpuas hati dengan persiapan yang dijalankan, Mahat juga berharap edisi kali ini akan melahirkan juara dalam kalangan pemain Malaysia seperti edisi tahun lalu.

“Saya berharap agar pemain tuan rumah mengambil kesempatan bersaing di gelanggang sendiri dengan muncul juara seperti edisi tahun lalu.

“Peluang bagi pemain golf wanita juga terbuka apabila juara tahun lalu dari Filipina tidak bermain pada tahun ini dan ini merupakan peluang terbaik untuk kita melihat pemain golf wanita Malaysia muncul juara,” katanya.

Pada edisi tahun lalu, pemain Malaysia, Ervin Chang muncul juara kategori lelaki manakala Lois Kaye Go dari Filipina muncul juara kategori wanita.

Untuk sebarang maklumat lanjut, sila layari laman web www.mgaonline.com.my. – ONLINE