Kejohanan yang memasuki edisi ke-36 itu bakal disertai seramai 256 pemain dari enam buah negara Asia seperti Thailand, Indonesia, Brunei, Singapura, Filipina dan Malaysia sebagai tuan rumah.

Menurut Presiden Persatuan Golf Senior Malaysia (SGSM), Datuk Aini Taib, Malaysia dilihat mempunyai peluang cerah untuk menang buat kali ketiga bersandarkan kepada barisan pemain yang kini berada pada tahap prestasi terbaik, ditambah pula bermain di gelanggang sendiri.

Pada tahun 2017, katanya, Malaysia memenangi Kejohanan Golf Senior Amatur Asia Tenggara yang berlangsung di Filipina dan menang lagi pada tahun lalu di Indonesia.

“Kali ini pasukan Malaysia akan disertai seramai 46 pemain yang sudah dipilih melalui beberapa siri kejohanan ‘senior order of merit’.

“Pemilihan ini agak rapi berdasarkan ‘senior order of merit’ dan pemain akan meraih mata dan daripada mata yang terkumpul ini kita akan melihat pemain manakah yang prestasinya konsisten dan berada pada tahap kompetitif sepanjang tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas berlangsungnya Kejohanan Golf Senior Malaysia di GGCC, baru-baru ini.

Naib Presiden SGSM, Datuk Wira Khamis Abu Samah pula berkata, mengikut peraturan Gabungan Persatuan Pemain Golf Senior ASEAN (CASGA), jumlah pemain yang mewakili negara masing-masing berdasarkan kepada bilangan ahli dalam persatuan pemain golf senior yang bergabung dalam CASGA.

Katanya, Malaysia akan diwakili 46 pemain, Thailand 66 pemain, Indonesia 50 pemain dan lain-lain negara seperti Brunei, Singapura dan Filipina ada jumlah bilangan pemainnya.

“Seramai 256 pemain ini akan bertanding dalam empat kategori iaitu Gross, Nett, Individu dan Berpasukan. Kita mengharapkan pasukan Malaysia pada tahun ini mampu mencipta hatrik,” ujarnya.

Sementara itu, pemain senior negara, Idris Ngah yang muncul juara pada 2017 kategori individu berhasrat untuk merampas kejuaraan pada tahun ini.

“Memandangkan Malaysia menjadi tuan rumah, saya akan berusaha lebih keras untuk mempertahankan kejuaraan berpasukan yang dimenangi negara kita pada tahun lalu.

“Dan sebagai pemain individu, saya juga mempunyai matlamat sendiri untuk menjadi juara pada edisi kali ini. Pada tahun 2017 saya menang di Filipina dan tewas pada tahun lepas di Jakarta. Harap-harap tahun ini dapat balik gelaran juara,” katanya. - UTUSAN ONLINE