Pelbagai langkah dan usaha telah dilakukan oleh SportExcel bagi merealisasikan hasrat tersebut termasuklah yang terbaharu ini menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Golf Hainan dari China.

Melalui permuafakatan tersebut, SportExcel dan Persatuan Golf Hainan telah berjaya menganjurkan kejohanan sulung Jelajah Golf Remaja Hainan yang telah berlangsung pada 24 Julai sehingga berakhir semalam di Kelab Golf Glenmarie (GGCC), Shah Alam, Selangor.

Kejohanan pertama kali itu yang mendapatkan tajaan sepenuhnya daripada Persatuan Golf Hainan membibitkan tunas-tunas subur dalam usaha menggapai hasrat SportExcel untuk memastikan sukan golf di negara ini berupaya dipertingkatkan di peringkat akar umbi.

Malah, kejohanan tersebut juga akan menjadi Liga Malaysia dan platform buat pemain-pemain muda tempatan di negara ini untuk mempamerkan bakat mereka dalam sukan golf.

Pengarah Eksekutif SportExcel Malaysia, C. Sivanandan berkata, kerjasama antara SportExel dan Persatuan Golf Hainan telah dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada 28 April 2019 di Hainan, China.

Katanya, lebih menariknya ia adalah kali pertama Persatuan Golf Hainan dan pihak Perbandaran Hainan menganjurkan kejohanan golf di Malaysia.

“Kami percaya kerjasama ini bukan sahaja dapat mempromosikan golf remaja di negara ini tetapi mampu meningkatkan bidang pelancongan sukan di sini.

“Kami harap pemain-pemain remaja memanfaatkan penyertaan dalam kejohanan ini dalam masa sama negara mahu melihat lebih ramai Gavin Green di Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar di Kelab Golf Glenmarie, baru-baru ini.

Kejohanan selama tiga hari itu disertai 124 pemain kebanyakan dari Malaysia dan China manakala selebihnya dari negara-negara dari rantau Asia seperti Thailand, Laos serta Korea Selatan.

CAPTION

ANTARA pemain-pemain muda yang menyertai Jelajah Golf Remaja Hainan di Kelab Golf Glenmarie yang berakhir semalam.

C. SIVANANDAN (tengah) bersama wakil Persatuan Golf Hainan di Kelab Golf Glenmarie.