Pendahulu Order of Merit Jelajah Asia dengan jumlah US$738,093 (RM3.046 juta) itu bakal bersaing dengan momentum positif dalam kejohanan bernilai US$300,000 (RM1.238 juta), selepas memenangi dua Jelajah Asia musim ini - Terbuka Singapura pada Januari dan Terbuka Korea bulan lepas.

Untuk rekod, Jazz berkongsi tempat kedua dengan rakan sepasukannya Danthai Boonma dan Paul Peterson dari Amerika Syarikat dengan 21 bawah par 267, ketinggalan satu pukulan di belakang juara, John Catlin dari Amerika Syarikat dalam edisi pertama kejohanan musim lepas.

"Saya masih ingat Sarawak merupakan tempat yang sangat bagus. Terdapat pantai yang cantik di sana dan saya gembira bermain di padang golf di sana tahun lepas.

“Saya selesa bersaing untuk merebut gelaran bersama rakan-rakan pada minggu itu walaupun saya tidak memenanginya, saya gembira kerana dapat menamatkan aksi dengan baik dan memberikan saya peluang," kata Jazz dalam kenyataan yang dikeluarkan Jelajah Asia hari ini.

Pemain lain yang akan menyertai kejohanan di Bumi Kenyalang itu ialah Micah Lauren Shin dari Amerika Syarikat, Khalin Joshi (India), Chan Shih-chang (Taiwan) serta duo Thailand - Sadom Kaewkanjana dan Tirawat Kaewsiribandit.

Kejohanan Golf Sarawak itu akan menjadi acara kedua disahkan oleh Jelajah Asia di Malaysia selepas Kejohanan Maybank yang diadakan pada Mac lepas.

Kejohanan itu dianjurkan kerajaan Negeri Sarawak sebagai sebahagian daripada usahanya mempromosikan pelancongan di negeri itu.- BERNAMA