Green meraih catatan 70 pukulan, dua di bawah par menyaksikan kelebihan tiga pukulan yang diraih terdahulu menyusut kepada satu pukulan dengan juara kejohanan utama dua kali, Ariya Jutanugarn bakal memintasnya pada hari terakhir.

Dia berjaya melakukan tiga daripada empat birdie di sembilan lubang pertama sebelum menamatkan saingan dengan dua bogey di enam lubang terakhir bagi mengumpul 207 pukulan secara keseluruhan di Hazeltine National Golf Club di Chaska, Minnesota.

“Apabila saya ada masa untuk menunggu sebelum pukulan berikutnya, saya mula rasa gementar.

“Saya perlu perlahankan permainan dan mengambil masa untuk bertenang.

“Saya kecewa dengan pukulan putt di lubang ke-16 dan 18, mungkin saya gementar,” katanya yang melakukan tiga putt di lubang ke-18 untuk catatan bogey.

Ariya yang juga juara bertahan Terbuka Amerika Syarikat, meraih 68 pukulan, empat di bawah par untuk berada di kedudukan kedua dengan lapan di bawah par secara keseluruhan.

Nelly Korda terikat di kedudukan ketiga bersama Lizzette Salas selepas meraih 69 pukulan.

Juara bertahan, Park Sung Hyun meraih 71 pukulan manakala Kim Sei Young melakukan 67 pukulan untuk masing-masing berada di kedudukan kelima dengan catatan empat di bawah par secara keseluruhan.-AFP