Kejohanan edisi ketiga itu yang bermatlamatkan untuk mengumpul dana bagi pembiayaan pengajian para pelajar tajaan YCU, menampilkan TNB sebagai penaja utama dengan dibantu Koperasi TNB.

Naib Cancelor Uniten, Datuk Profesor Ir. Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha berkata, pihaknya berterima kasih kepada TNB yang sudi menjadi penaja utama kejohanan, begitu juga Koperasi TNB yang turut menaja kesemua hadiah kepada pemenang.

Katanya, tidak lupa juga kepada semua peserta yang menjayakan kejohanan itu selain turut memberi sumbangan kepada dana YCU melalui tabung yang disediakan sepanjang acara itu berlangsung.

“Hasil kutipan dan sumbangan yang diterima oleh YCU ini akan disalurkan berdasarkan surat ikatan amanah YCU, ini termasuk bantuan kewangan terutamanya kepada pelajar golongan B40.

“Sejak 10 tahun lalu, penubuhan tabung YCU dan Tabung Amanah Zakat Uniten telah membelanjakan sebanyak RM18.5 juta untuk hampir 4,000 pelajar.

“Untuk tahun ini sahaja, bagi kemasukan Mei, Jun dan Julai 2019, terdapat seramai 63 pelajar golongan B40 yang ditaja oleh YCU dan juga Tabung Amanah Zakat Uniten membabitkan perbelanjaan sejumlah RM3.45 juta,” jelasnya ketika berucap sebelum majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang Kejohanan Golf YCU 2019.

Hadiah kepada pemenang utama kejohanan disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas yang juga Canselor Uniten.

Mengulas lebih lanjut mengenai YCU, Kamal Nasharuddin turut berkongsi realiti yang berlaku di institusi-institusi pengajian tinggi di mana ‘ketidakmampuan’ anak-anak golongan B40 dan mungkin juga golongan yang lain (M40) untuk membiayai yuran pengajian dan juga sara diri pelajar.

Sebab itu di Uniten, kata beliau, ada sumbangan atau bantuan untuk siswa dan siswi khususnya dari golongan B40 yang benar-benar tidak mampu.

“Usaha murni ini hanya dapat diteruskan selagi YCU mempunyai dana yang cukup hasil sumbangan berterusan daripada para penderma yang terdiri dari syarikat-syarikat korporat dan para dermawan,” katanya. – UTUSAN ONLINE