Golf Amal Selebriti @ KGT PDRM 2019 diadakan buat kali ketiga pada tahun ini bertujuan mengumpul dana Persatuan Karyawan Malaysia bagi membantu artis veteran kurang bernasib baik.

Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola kejohanan amal berkenaan, Datuk Freddie Fernandez bersyukur kerana kejohanan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada ahli-ahli kelab, artis dan para penaja.

“Terima kasih semua kerana menjayakan kejohanan ini yang objektifnya bagi mengumpul dana dalam usaha meringankan kos perubatan ahli-ahli karyawan yang berada dalam kesusahan.

“Kami amat bangga dan bersyukur kerana diberi peluang oleh rakan-rakan dari Kelab Golf Titiwangsa PDRM menganjurkan kejohanan ini,” katanya ketika berucap dalam majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang.

Yang turut hadir wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Rosli Ab. Rahman, Datuk Zamri Yahya, Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM), Rahim Jailani; rakan artis, Raisuddin Hamzah; wakil-wakil Kelab Golf Titiwangsa (KGT), Datuk Abdullah dan Ramdan Amat.

Kejohanan itu terbahagi kepada tiga kategori iaitu Kategori Ahli KGT, Artis dan Jemputan/Penaja.

Bekas penjaga gol bola sepak negara, Azmi Mahmud muncul juara gross, manakala Ryan Fernandes johan nett.

Sementara itu, Shaari Mustafa diumukan sebagai pemenang tempat pertama bagi Kategori KGT PDRM, Datuk Hans Isaac juara Kategori Artis, manakala Azlan Abu Bakar dari Bank Simpanan Nasional (BSN) johan bagi Kategeri Jemputan/Penaja. – UTUSAN ONLINE