Daly pada mulanya berhasrat untuk cuba beraksi walaupun menghidapi penyakit degenerative arthritis di bahagian lutut kanannya meskipun permohonannya itu ditolak.

Bagaimanapun, selepas pemain berusia 53 tahun itu mengambil keputusan menarik diri, kedudukannya digantikan oleh Kevin Streelman.

Daly yang juga juara edisi 1995, dibenarkan menggunakan buggy semasa Kejohanan US PGA, Mei lalu berdasarkan kepada Akta Warga Amerika Syarikat Kurang Upaya.

Pihak penganjur meluahkan rasa simpati terhadap masalah yang dihadapi Daly tetapi menegaskan, berjalan semasa beraksi di kejohanan itu merupakan sebahagian daripada tradisi Terbuka Britain.

“Saya baru sahaja menerima makluman daripada R&A, mereka menolak permohonan saya untuk menggunakan buggy di Terbuka Britain.

“Agak mengecewakan kerana mereka tidak melihat situasi ini seperti PGA Amerika dan Siri Jelajah PGA. Undang-undang berbeza mengikut benua?

“Saya percaya, sesiapa yang layak beraksi harus diberikan hak untuk bertanding dan saya percaya keputusan R&A adalah dengan niat yang baik. Saya terima keputusan ini,” kata Daly menerusi laman Twitter rasminya.-AFP