“Maaf saya katakan sehingga kini tiada seorang pun pemain profesional negara kita yang beraksi dalam sisi Jelajah PGA bersama barisan handalan dunia. Justeru, kita tanamkan harapan dan semangat yang tinggi agar impian untuk ke arah itu dapat digapai,” katanya lagi dalam temu bual santai di pejabat Akademi SD Golf di Kelab Golf Sultan Abdul Aziz Shah (SAASGCC), Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Menurut Sheikh Darabi, pihaknya telah melantik pemain golf profesional negara seperti Saifubari Muda, Sukree Othman, Shariffuddin Ariffin, Daeng Abdul Rahman dan beberapa lagi jurulatih lain yang mempunyai lesen dalam bidang kejurulatihan golf untuk melatih para pelajar Akademi SD Golf sehingga mereka berjaya.

Selain matlamat melahirkan ‘permata’ yang terus bersinar dalam sukan golf, katanya, Akademi SD Golf juga turut memberi peluang kepada golongan kurang berkemampuan yang minat bermain golf tetapi dikekang oleh masalah kewangan dan pihaknya akan membantu mereka dengan menyediakan segala kemudahan seperti peralatan golf dan fasiliti-fasiliti lain.

Sambil ditemani dua lagi rakan kongsi, Datuk Saiful Tan dan Syed Abdul Halim Syed Abu Bakar, Sheikh Darabi memberitahu, akademi tersebut menyasarkan pelajar-pelajar sekolah peringkat rendah dan menengah seluruh negeri Selangor sebagai pelajar mereka tanpa mengenakan sebarang yuran.

“Bagi fasa pertama, Akademi SG Golf menyasarkan seramai 100 orang pelajar mengikut peringkat usia antara sembilan hingga 10 tahun bagi pelajar sekolah rendah dan usia 13 tahun ke atas bagi sekolah menengah. Untuk peringkat awal, kita akan pergi ke sekolah-sekolah rendah dan menengah berdekatan, merekrut mana-mana pelajar yang berminat dengan syarat mendapat keizinan daripada ibu bapa dan guru sekolah.

“Mana-mana pelajar yang mana ibu bapa mereka tidak mampu menghantar anak mereka belajar bermain golf di Akademi SD Golf, kita akan bantu mereka tanpa mengenakan sebarang bayaran. Kita mahu para pelajar ini berjaya bukan sahaja dalam sukan golf tetapi juga dalam akademik,” jelasnya.

Sementara itu, rakan kongsi, Saiful pula memberitahu, selain daripada pelajar sekolah, Akademi SD Golf juga turut memberi peluang kepada orang ramai yang berminat untuk menyertai akademi tersebut tetapi akan dikenakan yuran penyertaan dan pembelajaran yang ditetapkan.

Sebagai permulaan, katanya, Akademi SD Golf sudah mengambil dua pemain remaja yang baharu sahaja mendapat kad kelayakan PGM sebagai pemain profesional iaitu Alif Fitri Saidin, 20, dan Ezmeer Rezza Merican, 19.

Katanya, mereka akan diberi latihan harian mengikut apa yang dijadualkan dan diajar secukupnya oleh tenaga pengajar profesional yang ada untuk diketengahkan dengan lebih jauh lagi sehingga ke pentas antarabangsa.

“Sasaran Akademi SD Golf ialah mahu melahirkan seberapa ramai ‘bintang’ golf yang mampu beraksi di pentas dunia. Justeru, segala program pembangunan sukan golf di akademi ini digariskan dengan seteliti mungkin agar matlamat yang disasarkan itu tercapai.

Mengulas mengenai jadual latihan, Saiful memberitahu, antara apa yang dijadualkan untuk hari Isnin hingga Jumaat ialah antara pukul 7 pagi sampai 3 petang adalah ruang untuk Program Junior Pro iaitu pelajar yang sudah dapat Kad Kelayakan PGM dan mereka akan datang ke sini untuk berlatih setiap hari.

Pada waktu hujung minggu iaitu Sabtu dan Ahad pula, tambahnya, pihak akademi lebih tertumpu kepada Program Pembangunan Junior yang bermula antara jam 8 hingga 10 pagi.

“Selain itu, terdapat juga segmen pelajar baharu yang mula belajar main golf antara umur 8 hingga 10 tahun, manakala antara pukul 11 pagi hingga 2 petang untuk program pelajar pertengahan yang sudah boleh memukul bola golf dan turun padang.

“Manakala golongan elit seramai lebih kurang lima orang akan turun pada jam 3 petang ke atas untuk menjalani latihan. Tetapi ramai yang datang berlatih di sini adalah golongan pertengahan yang sudah boleh bermain dan berhasrat ingin pergi ke peringkat lebih tinggi. Maknanya di Akademi SD Golf ini ada tiga peringkat program iaitu awal, pertengahan dan ‘advanced level’,” jelasnya.

Sempena dengan setahun penubuhan Akademi SD Golf itu nanti, satu kejohanan iaitu SDGA Golf Championship akan diadakan pada 20 Oktober 2019 di Kelab Golf Sultan Abdul Aziz Shah (SAASGCC).

Kepada mereka yang berminat untuk menyertai Akademi SD Golf atau SDGA Golf Championship, bolehlah menghubungi Saiful di talian +6011-16533775 atau layari www.sdga.com.my dan [email protected] - UTUSAN ONLINE

INFO GRAFIK

*PROGAM PEMBANGUNAN JUNIOR

Segmen Pelajar Baharu (umur 8 hingga 10 tahun)

Hari Latihan: Sabtu-Ahad

Waktu: 8.00 pagi - 10.00 pagi

Segmen Pelajar Pertengahan (umur 13 tahun ke atas)

Hari Latihan: Sabtu-Ahad

Waktu: 11.00 pagi - 2.00 petang

Segmen Elit (umur 8 hingga 10 tahun)

Hari Latihan: Sabtu-Ahad

Waktu: 3.00 petang - 7.00 malam

*PROGRAM JUNIOR PRO

Hari Latihan: Isnin-Jumaat

Waktu: 7.00 pagi - 3.00 petang

DRIVING RANGE

Waktu operasi: 7 pagi - 9 malam

Kemudahan: Bunker, chipping dan putting green

Bola: 100 biji (RM10)