Kejohanan yang memasuki edisi kelapan itu terus didominasi Perodua sebagai penaja utama kejohanan WAGC yang mempertandingkan sebanyak 12 pusingan kelayakan yang akan diadakan di seluruh negara. Ia untuk memilih pemenang bagi lima kategori yang dipertandingkan iaitu A, B, C, D dan E.

Semua pemenang setiap kategori iaitu seramai 60 orang pula akan bertanding merebut tempat lima terbaik untuk mewakili Malaysia bersaing dengan 40 pasukan kebangsaan lain di Final World WAGC yang akan berlangsung di empat padang golf tersohor di Sabah bermula 19 hingga 26 Oktober 2019.

Dalam pusingan kelayakan pertama, pemain handikap 4, Mansol Mamat muncul juara Kategori A dengan pukulan 76 nett diikuti juara Kategori B, Datuk Abdul Rahman Rahim (7) dengan 68 nett; dan juara Kategori C, Nor Azhar Mohamad Nor (11) yang mengumpul 68 nett.

Kategori D pula milik Dr. Ahmad Zaki Hasan (16) dengan skor 66 nett manakala Datuk Zarim (24) menjuarai Kategori E selepas berjaya mengutip 66 nett.

Terdahulu Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin; Presiden Perodua dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Zainal Abidin Ahmad; Penaung WAGC Malaysia, Datuk A. Sani Karim dan Presiden WAGC, Isac Saminathan merasmikan majlis pelancaran WAGC pusingan pertama.