Selain pemain tuan rumah Malaysia, penyertaan pemain wanita dari Indonesia, Jepun, Filipina dan Vietnam pastinya memeriahkan lagi kejohanan bersejarah ini yang kini memasuki edisi ke-45.

Cabaran kejohanan kali ini menjadi lebih getir dan sukar kepada semua peserta dengan penyertaan sulung tujuh pemain wanita dari Australia yang sedia merebut empat trofi yang dipertandingkan - Trofi Tuanku Bahiyah, Toh Puan Norashikin (Juara Nett), Datin Azian (Juara Gross Berpasukan) dan Clarissa Lee (Juara Nett Berpasukan).

Menurut Pengerusi Penganjur Kejohanan, Datuk Yasmin Yusuff, RSGC mengalu-alukan kehadiran pemain dari Indonesia, Jepun, Filipina, Vietnam dan Malaysia dan buat kali pertama menyaksikan kehadiran pemain dari Australia yang telah pun mendaftarkan diri.

Katanya, persaingan peserta sepanjang tiga hari kejohanan ini berlangsung tampak lebih menarik dengan penampilan lebih ramai pemain-pemain yang berkaliber dari dalam mahupun luar negara yang memiliki handikap di antara +2 dan 0.

“Ini menunjukkan kekuatan peserta kejohanan kali ini dengan terus menarik minat pemain amatur serantau yang terbaik dalam bidang ini. Ini juga menjadikan Kuala Lumpur sebagai lokasi kejohanan antarabangsa wanita,” katanya dalam sidang Kejohanan Terbuka Amatur Wanita RSGC Ke-45 di kelab tersebut, baru-baru ini.

Menurut Yasmin, kejuaraan tahunan itu dibuka kepada pemain-pemain amatur dengan handikap USGA sebanyak 17.4 dan setiap pemain akan bersaing dalam acara individu dan berpasukan gross dan nett.

Katanya, kejuaraan tahunan tersebut menarik beberapa pemain golf wanita paling berbakat dalam sukan ini, kebanyakannya diiktiraf di Ranking Amatur Golf Dunia (WAGR).

“Ranking ini menyenaraikan pemain golf amatur wanita terulung di seluruh dunia berdasarkan prestasi purata mereka dalam ‘Counting Events’ seperti Terbuka Amatur Wanita RSGC yang diletakkan di dalam kejohanan Kategori D,” jelasnya.

Pada 2018, tambah Yasmin, kejohanan tersebut yang beraspirasi untuk menduduki ranking yang hebat seperti Malaysian Ladies Amateur Open (MLAO), adalah di antara empat kejohanan golf di Malaysia yang mendapat Kategori D, di Ranking Amatur Golf Dunia.

Katanya, kejohanan ini masih termaktub sebagai kejohanan terulung anjuran kelab golf di Malaysia.

“Semenjak penubuhannya, Kejohanan Terbuka Amatur Wanita RSGC telah menghasilkan Juara Golf Malaysia yang kemudiannya bermain secara profesional, antaranya Lim Ai Lian (Juara pada 1991, 1997 dan 1998) dan Lim Siew Ai (Juara pada tahun 1996). Siew Ai, ahli RSGC, adalah pemain LPGA pertama di Malaysia,” ujarnya bangga.

Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada Persatuan Golf Wanita Malaysia (Malga), yang akan menganjurkan Kejohanan MLAO selama tiga hari selepas kejohanan amatur wanita RSGC.

Katanya, Malga telah menunjukkan sokongan padu mereka kepada RSGC dengan menggalakkan penyertaan pemain-pemain MLAO, begitu juga myFutures ke dalam kejohanan anjuran RSGC.

Antara pemain amatur wanita negara yang akan berentap nanti ialah Geraldine Wong Xiao Xuan, Nur Maisara Saad, Dania Lau, Elaine Liew, Lilian Liew dan Kelly Low.

Dalam kejohanan kali ini, sebuah Mercedes A200, cincin berlian mutiara South Sea La Putri bernilai RM16,000 dan sebuah jam tangan mewah berjenama Titoni bakal menjadi milik pemain yang berjaya melakukan pukulan Hole in One.

Antara lain-lain penaja yang menjayakan kejohanan ini ialah Metro Kajang Holdings Berhad, Poh Kong, Hotel Impiana, 100 Plus dan Love18.

Mengulas mengenai fasiliti, Yasmin memberitahu, tahun ini sama seperti pada tahun lepas, para peserta akan terus menikmati kemudahan istimewa yang telah disediakan seperti player’s lounge, urut kaki percuma, sesi warm-up oleh para profesional dan pengangkutan oleh kereta rasmi RSGC iaitu Kia Carnival.

Pemain-pemain golf wanita yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai kejuaraan tersebut boleh mengunjungi laman sesawang kejohanan di http://lao.thersgc.com/. Penyertaan akan ditutup pada hari Khamis, 25 Julai 2019. – UTUSAN ONLINE