Pemain Malaysia berusia 25 tahun itu memulakan kempen di Kelab Golf Crans-sur-Sierre, Switzerland dengan aksi memberangsangkan apabila mencatat 65 pukulan (lima bawah par), 64 (enam bawah par) dan 69 (satu bawah par).

Bagaimanapun, aksi kurang baik di hari terakhir menyebabkan dia sekadar terikat di tangga ke-12 bersama tujuh pemain lain selepas mengumpul 269 pukulan keseluruhan, 11 bawah par.

Gavin terikat bersama Thomas Pieters (Belgium), Andrea Pavan (Itali), Marcus Kinhult (Sweden), Scott Jamieson (Scotland), Renato Paratore (Itali) dan dua pemain Afrika Selatan, Erik Van Rooyen serta Christiaan Bezuidenhout.

Walaupun cemerlang mencatat eagle di par 5 lubang kesembilan, selain birdie di lubang kelima, namun lima bogey yang dilakukan pada hari terakhir meranapkan hasrat Gavin untuk mencatat keputusan lebih baik pada kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan 2.5 juta euro (RM11.55 juta).

Sebastian Soderberg merangkul kejuaraan Jelajah Eropah pertamanya sejak 2013 selepas muncul juara dengan menewaskan bekas pemain No. 1 dunia, Rory McIlroy dari Ireland dan pemain Finland, Kalle Samooja dalam saingan playoff.

Pemain Sweden itu menyempurnakan birdie putt dari jarak 10 kaki pada ketika McIlroy dan Samooja gagal untuk menyudahkan pukulan dari jarak yang lebih dekat.

Saingan terpaksa diheret ke playoff selepas lima pemain terikat dengan 14 bawah par 266 keseluruhan, termasuk Lorenzo Gagli (Itali) dan Andres Romero (Argentina). - UTUSAN ONLINE

KEPUTUSAN

266 - Sebastian Soderberg (SWE) 64-70-66-66, Lorenzo Gagli (ITA) 64-68-67-67, Rory McIlroy (NIR) 67-63-69-67, Kalle Samooja (FIN) 66-71-62-67, Andres Romero (ARG) 69-61-66-70

267 - Adri Arnaus (ESP) 66-67-70-64, Mike Lorenzo-Vera (FRA) 69-61-66-70;

268 - Lucas Herbert (AUS) 70-67-67-64, Matthias Schwab (AUT) 63-67-70-68, Wade Ormsby (AUS) 66-64-67-71, Tommy Fleetwood (ENG) 65-65-68-70;

269 - GAVIN KYLE GREEN (MAS) 65-64-69-71, Thomas Pieters (BEL) 67-67-70-65, Andrea Pavan (ITA) 70-68-66-65, Marcus Kinhult (SWE) 67-72-65-65, Erik Van Rooyen (RSA) 65-69-68-67, Scott Jamieson (SCO) 70-65-67-67, Renato Paratore (ITA) 67-66-67-69, Christiaan Bezuidenhout (RSA) 67-67-65-70.

*Sebastian Soderberg muncul juara menerusi playoff