Antara aktiviti yang dijalankan ialah memancing, larian dan kejohanan golf. Kejohanan golf merupakan acara yang terakhir diadakan dan seramai 260 pemain terdiri daripada ahli-ahli kelab, penaja, tetamu dan wakil media menyertai kejohanan itu yang diadakan di kedua lapangan iaitu Garden dan Valley.

Apa yang menarik dalam kejohanan sempena ulang tahun ke-25 kelab tersebut ialah persetujuan pihak Audi dan Proton untuk menaja sebuah kenderaan iaitu Audi Q7 dan Proton X70 kepada pemenang yang berjaya melakukan pukulan selubang (hole in one).

Pengurus Kelab GGCC, Nor Afendi Mohd. Razlan berkata, terima kasih kepada semua penaja terutama pihak Audi dan Proton yang sudi menaja kereta walaupun tiada seorang pun yang berjaya melakukan pukulan hole in one.

Nor Afendi juga turut menjadi orang penting dalam memainkan peranan menjayakan semua acara itu sebagai tanda penghargaan yang tulus untuk ahli-ahlinya dan rakan-rakannya yang telah membantu menyokong sepanjang 25 tahun Kelab Golf Glenmarie ditubuhkan.

“Kami berbangga dapat menjadi tuan rumah acara ini sebagai tanda terima kasih kepada mereka yang telah menyokong GGCC sepanjang tahun ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang kejohanan.

Terdahulu beberapa hari sebelum kejohanan golf bermula, pertandingan memancing dan larian di GGCC turut mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

GGCC mula beroperasi pada tahun 1994 dan majlis perasmiannya dilakukan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tanah seluas 450 ekar ini menawarkan padang golf 36 lubang dan telah menjadi tuan rumah kepada kejohanan seperti Piala EuroAsia pada tahun 2014, 2016 dan 2018.

GGCC juga berjaya meraih anugerah ‘Kelab Golf Tahun Ini’ dalam Siri Anugerah Hospitality Asia Platinum (HAPA) Malaysia Awards 2018-2020.