DUBLIN: Bintang golf dunia, Rory McIlroy, menuntut pegawai pertandingan agar lebih berperikemanusiaan selepas kumpulannya dikenakan amaran permainan perlahan pada pusingan pertama Terbuka Irish di K Club, semalam.
Turun bersama Thriston Lawrence dan Kristoffer Reitan, McIlroy jelas kecewa apabila tumpuan permainannya terganggu sehingga menutup hari dengan ketinggalan lima pukulan di belakang pendahulu.
“Sejujurnya saya rasa agak tergesa-gesa sepanjang 12 lubang terakhir.
“Kami diletakkan dalam pemantauan agak awal, kemudian pegawai pertama beredar dan sekali lagi kami dipantau pada tiga lubang terakhir untuk cuba mengejar masa,” kata McIlroy.
Kedudukan teratas menjadi milik Thorbjorn Olesen, Romain Langasque dan Ignacio Elvira yang sama-sama mencatat enam bawah par 66 untuk berkongsi pendahuluan.
Permainan McIlroy yang menutup catatan 71 pukulan juga tidak dibantu oleh Lawrence (81) dan Reitan (77) yang kehilangan pukulan berharga apabila bola mereka tenggelam di air pada lubang ketujuh.
Sorakan penyokong tuan rumah pula terarah kepada Shane Lowry yang tenang mencatat tiga birdie pada enam lubang terakhir untuk menutup pusingan dengan 69 pukulan.
Namun, kapten Ryder Cup Eropah, Luke Donald, bergelut dengan rentak permainannya apabila menamatkan saingan pembukaan dengan catatan hambar lima atas par 77. – AGENSI