Pengarah Eksekutif Sport Excel, C. Sivanandan berkata, jumlah penerima tahun ini adalah terbesar berbanding tahun-tahun sebelum ini dengan lebih 40 pemain mendapat biasiswa tersebut sejak lima tahun lalu.

“SportExcel begitu bangga sekali sebab ini satu kejayaan bukan sahaja untuk kami tetapi kepada pemain golf junior yang telah mendapat biasiswa daripada kolej di Amerika Syarikat.

“ Tawaran tersebut bukan sahaja dari segi akademik, tetapi tempat yang paling sesuai untuk meningkatkan prestasi dalam sukan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas jamuan perpisahan bagi pemain golf junior ke kolej di Amerika Syarikat 2019 di sini hari ini.

Beliau memberi contoh pemain golf utama negara, Gavin Kyle Green adalah bakat kelahiran SportExcel yang bertanding dalam kejohanan anjuran yayasan tersebut sejak berusia tujuh setengah tahun.

“Gavin memang satu contoh terbaik sekali bagi masa kini yang akhirnya berjaya mendapatkan ijazah daripada universiti di Amerika Syarikat dan bila balik, dia sudah menjadi pemain profesional dan kini beraksi dalam Jelajah Eropah,” katanya.

Sivanandan berkata, ramai pemegang taruh dan pertubuhan telah memberi sumbangan atas perkembangan dan kejayaan penerima biasiswa tersebut, antara lain, Persatuan Golf Wanita Malaysia (Malga), Persatuan Golf Malaysia (MGA) dan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).

Sementara itu, pemain junior negara, Liyana Durisic, yang akan melanjutkan pengajian di Iowa State University, Amerika Syarikat, selama empat tahun, berkata beliau bercadang untuk menjadi pemain profesional.

“Saya akan mencuba yang terbaik untuk menjadi seorang graduan pada tahun 2023 sebelum menjadi pemain profesional pada tahun berikutnya. Saya bercadang untuk mengikuti pengajian bidang kinesiologi untuk menjadi seorang fisioterapi,” katanya. -- BERNAMA