Kejohanan yang menawarkan mata ranking amatur dunia itu akan disertai beberapa pemain handalan negara termasuk adik Gavin Green, Galven Green serta juara amatur kebangsaan, Zia Izzuddeen Abdul Rashid.

Peserta akan beraksi untuk 54 lubang di atas lapangan sepanjang 6,357 meter.

“Kejohanan ini sesuai diadakan di Kelab Golf Danau kerana ia sememangnya menjadi hasrat kami untuk memastikan semua kelab berpeluang menganjurkan kejohanan premier ini.

“Gavin Green pernah menjuarai kejohanan ini dan kini adiknya mengikut jejak langkahnya menyertai pertandingan ini. Kami berharap peserta tempatan akan menjadi juara bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia di mata dunia,” kata Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA), Tan Sri Anwar Mohd. Nor.

Kelab Golf Danau sebelum ini diangkat sebagai antara lapangan golf paling mencabar di Malaysia dan kejohanan kali ini menjadi yang pertama dianjurkan selepas Kejohanan Golf Amatur Tertutup Amatur Malaysia pada 2010.

Kejohanan yang turut mendapat pengiktirafan bersama Pejabat Pelancongan Selangor dilihat mampu merancakkan lagi kehadiran pelancong ke negeri itu.

“Kami bekerjasama dengan banyak persatuan golf bagi menjadikan ia sebagai landasan memajukan ekonomi di negeri ini.

“Kami mahu orang ramai tahu bahawa kami memiliki kemudahan lengkap bagi sukan ini selain kaya dengan seni kebudayaan bagi melengkapi sukan ini,” kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebudayaan Dan Pelancongan, Peradaban Melayu Dan Warisan Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari.

Sementara itu, Pengurus Besar Kelab Golf Danau, Johan Fariz memberitahu, pihaknya kini sedang mempersiapkan lapangan sebaik mungkin menjelang kejohanan itu nanti.

Katanya, beliau dan kakitangan kelab itu akan memastikan keadaan padang dan green dalam keadaan baik selain pengurusan perjalanan kejohanan termasuk fasiliti.