Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, penekanan kerajaan dari segi kebajikan adalah untuk memastikan atlet memberikan tumpuan kepada latihan tanpa gangguan perkara luar.

Katanya lagi, berkata program latihan baharu yang mengekalkan nama Program Podium, harus menjadi sasaran utama atlet di samping meneruskan matlamat utama program itu untuk meraih emas pertama negara di temasya Sukan Olimpik.

“Kita berasa lega terutamanya apabila kita mendapat perhatian daripada pihak kerajaan yang memberi satu suntikan sokongan kepada bidang sukan kita. Perubahan yang berlaku kita harap akan merangsang semangat dan memberi motivasi kepada atlet untuk perform lebih baik.

“Podium adalah salah satu perkara utama untuk atlet kerana tidak kira di mana tahap atlet itu berada kita sentiasa mahu berada di podium...sama ada gangsa, perak atau emas dan sudah semestinya emas menjadi matlamat semua orang,” katanya kepada pemberita selepas pembentangan penstrukturan semula program latihan atlet kebangsaan 2019 di sini hari ini.

Ahmad Shapawi berkata, atlet perlu melihat pembaharuan sebagai satu langkah positif yang harus diambil sebagai cabaran kepada mereka untuk mempamerkan prestasi yang lebih cemerlang.

“Kita menyediakan pakej kebajikan ini sebahagian daripada program latihan. Jadi, ia adalah satu program latihan yang keseluruhannya melibatkan kebajikan, kualiti latihan, pengurusan jurulatih dan pengurusan kemudahan latihan,” katanya.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membentangkan penstrukturan semula program latihan atlet kebangsaan yang masih mengekalkan nama Program Podium serta peruntukan tambahan daripada kerajaan sebanyak RM28 juta, menjadikan keseluruhan peruntukan RM118 juta untuk program itu.

Selain itu, Syed Saddiq juga mengumumkan kadar terkini elaun kepada atlet kebangsaan membabitkan atlet sepenuh dan separuh masa di bawah Skim Elaun Latihan atlet kebangsaan 2019 melibatkan 645 atlet keseluruhannya.

Sementara itu, Ahmad Shapawi memberi jaminan, MSN mampu menguruskan atlet yang ramai di bawah Program Podium baharu membabitkan 133 atlet podium, 409 Kita Juara dan 103 terdiri daripada atlet yang tidak pernah menyertai mana-mana program.

“Kita memang sedia ada mempunyai atlet yang besar dan kita pernah sampai hingga 1,000 orang atlet untuk djaga. Pendekatan kita sekarang melibatkan 645 orang dan tidak melibatkan atlet pelapis. Dari segi pengurusan ia tidak menjadi isu kepada kita,” katanya. - BERNAMA