Kejayaan Fazrul malam ini, walaupun sekadar meraih gangsa selepas mengangkat keseluruhan 328kg (rekod kebangsaan 327kg), menceriakan kem negara selepas ketandusan pingat semalam.

Ini adalah pingat ketiga dimenangi skuad angkat berat selepas Mohd. Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad dan Muhamad Aznil Bidin, masing-masing memenangi pingat emas kategori 56kg dan 62kg pada hari pertama pertandingan Khamis lalu.

“Ini adalah satu kejayaan yang membanggakan kerana kami tidak meletakkan sasaran untuk dia menang pingat. Ikut ranking, dia di kedudukan kelapan tetapi percaturan strategi dan kesungguhannya membuahkan hasil,” kata pengurus skuad negara Amirul Hamizan Ibrahim.

Katanya, Fazrul sebenarnya mampu menang perak tetapi kecederaan pinggang yang dialami ketika berlatih di Balik Papan, Kalimantan sebelum ke Gold Coast menjejaskan prestasinya.

“Ibu jarinya juga pecah menyebabkan dua percubaannya untuk mengangkat 150kg dalam snatch tidak berjaya dilakukan,” jelas Amirul.

Fazrul menjulang 145kg dalam snatch (rekod kebangsaan 150kg) dan 183kg bagi clean & jerk untuk memecahkan rekod kebangsaan miliknya sebelum ini. Rekod lamanya untuk clean & jerk ialah 182kg, yang masing-masing dilakukan ketika memenangi pingat perak Sukan SEA Ogos lalu.

“Kejayaan Fazrul ini bermakna kita sudah mengatasi sasaran. Kami ke sini dengan jangkaan untuk menang satu pingat emas sahaja daripada Mohd. Azroy dan sama ada perak atau gangsa daripada Aznil,” kata Amirul.

Sementara itu, pingat emas dimenangi oleh Venkat Rahul Ragala dari India dengan 338kg (151kg, 187kg) manakala wakil Samoa, Don Opeloge yang mengumpul 331kg (151kg, 180kg) menduduki tempat kedua.

Seorang lagi peserta negara, Abdul Mubin Rahim menduduki tempat ketujuh kelas 77kg setelah menjulang jumlah keseluruhan 290kg (130kg untuk snatch dan 160kg dalam clean & jerk).

Pingat emas dimenangi oleh Sathish Kumar Sivalingam (317kg) dari India manakala wakil England, Jack Oliver (312kg) meraih perak dan Francois Etoundi (305kg) meraih gangsa untuk Australia.