Sejak kembali daripada berehat panjang selama enam bulan, pemain berusia 35 tahun dari Switzerland ini sudah memenangi Grand Slam Terbuka Australia serta Masters di Indian Wells dan kini bersedia memburu gelaran di Terbuka Perancis.

Federer menewaskan Nadal ketika meraih ketiga-tiga gelaran yang diperolehnya pada tahun ini dan kini menang keempat-empat pertemuan terakhir antara kedua-dua pemain ini.

“Saya perlu berehat seketika selepas melalui minggu-minggu yang menakjubkan. Anda mungkin akan melihat saya di Perancis sekali lagi.

“Saya mahu kekal sihat dan menikmati diri saya kerana apabila saya sihat dan perasaan yang baik, saya berpeluang bermain tenis dengan baik dan mencapai keputusan seperti ini,” katanya kepada ESPN dalam satu temu bual.

Sementara itu, Nadal berkata ia adalah final kelima buatnya di Miami namun bintang tenis Sepanyol itu terus buntu meraih kemenangan.

Begitupun, Nadal masih memiliki rekod kemenangan lebih baik 24 berbanding 14 dimiliki Federer sejak pertama kali bertemu di Miami pada 2004.

Pertemuan final awal pagi tadi berlangsung sengit dengan kedua-duanya mempunyai peluang untuk melakukan break namun selepas 10 mata break, barulah set pertama boleh ditentukan.

Pemain tangan kidal dari Sepanyol itu mengakui kecewa dengan kekalahan ketiga di pentas final tahun ini namun merasakan ia sebagai impak positif menjelang musim gelanggang tanah liat. - AFP