Di Pusat Sukan Tertutup Coomera, skuad gimrama negara terpaksa menunggu pada acara terakhir dan hari terakhir saingan dalam sukan tersebut sebelum berjaya meraih emas menerusi Amy Kwan bagi disiplin riben individu.

Pada aksi final itu, Amy, 23, menitiskan air mata sebaik mengetahui catatannya iaitu 13.200 mata muncul yang paling tinggi berbanding pencabar lain, malah lebih mengembirakannya apabila rakan sepasukan, Koi Sie Yan berjaya meraih gangsa dalam acara sama selepas memungut 12.000 mata.

Pingat perak acara ini dimenangi gimnas pilihan dari Cyprus, Diamanto Evripidou yang mendapat 12.900 mata.

“Emas yang kami tunggu-tunggu sejak tiga hari lalu akhirnya berjaya dijelmakan pada acara terakhir iaitu riben. Saya amat gembira mendapat emas yang dicari-cari ini.

“Ini kerana ia adalah emas pertama saya di Sukan Komanwel dan mungkin juga emas terakhir. Saya ucap terima kasih kepada semua yang terbabit atas kejayaan ini,” katanya yang muncul penyumbang emas kelima kepada kontinjen negara pada temasya kali ini.

Pada penyertaan pertamanya dalam Sukan Komanwel empat tahun lalu di Glasgow, Scotland, Amy hanya berjaya membawa pulang pingat gangsa, itu pun dalam acara berpasukan all-around bergandingan dengan Wong Poh San dan Fatin Zakirah Zain Jalany.

Bagaimanapun, selain emas kali ini, Amy menyumbang gangsa dalam acara gelung individu hari ini selepas memungut 13.550 mata. Emas dimenangi Evripidou (14.850) manakala perak milik gimnas Wales, Laura Halford (14.000).

Turut cemerlang hari ini adalah Sie Yan. Walaupun tidak berjaya menyumbang emas tetapi dua perak dan satu gangsa yang diperolehnya sudah cukup menceriakan kem negara.

Atlet berusia 19 tahun itu meraih perak dalam acara bola dan belantan individu manakala gangsa dalam acara riben. Ini menjadikan secara keseluruhannya skuad gimrama berjaya membawa pulang satu emas, tiga perak dan dua gangsa pada temasya kali ini.

Kejayaan itu menyaksikan gimrama berjaya memperbaiki pencapaian 2014 lalu yang hanya meraih satu perak dan dua gangsa. Pada 2010 pula sukan ini menyumbang satu emas, satu perak dan tiga gangsa manakala 2006, lima perak dan dua gangsa.

Sementara itu, di Kelab Bowls Broadbeach, selepas bermula longlai, malah ketinggalah 0-7, Siti Zalina Ahmad dan Emma Firyana Saroji mempamer kebangkitan menakjubkan untuk merangkul pingat emas penuh dramatik dalam perlawanan akhir boling padang berpasangan wanita.

Berdepan pilihan utama dari Afrika Selatan, Nicolene Neal dan Collen Piketh, gandingan Emma Firyana-Siti Zalina hanya menang dengan kelebihan satu mata iaitu 15-14 selepas tamat 18 ends.

“Kalau diikutkan, kami ketinggalan banyak tetapi ada lagi baki dalam lapan ends. Saya beritahu Emma, kita cuba dapatkan satu demi satu mata. Kalau dapat lebih, ia bonus buat kita.

“Kami pun ketika itu tidak berputus asa dan saling sokong satu sama lain. Bukan senang dalam situasi ketinggalan begitu, kalau diikutkan memang sudah tiada harapan.

“Sikap tidak berputus asa dan keinginan untuk mendapatkan emas yang sangat tinggi itu membolehkan kami bangkit dan akhirnya mengecap kejayaan seperti hari ini,” kata Siti Zalina yang membuat penampilan keenam dalam Sukan Komanwel.

Menurut Emma Firyana, 31, pula, mereka telah berlatih di Gold Coast sejak 19 Februari lalu dan latihan keras selama ini akhirnya membuatkan kejayaan.