Sebagai juara bertahan perseorangan lelaki dan wanita, masing-masing mempunyai kelebihan dalam memegang status tersebut menyebabkan penganjur kejohanan Grand Slam itu memutuskan sedemikian.

Djokovic dari Serbia sedang memburu kejuaraan Grand Slam ke-17 dalam kariernya di sini ketika pemain Sepanyol, Rafael Nadal diletakkan sebagai pilihan kedua diikuti Roger Federer dari Switzerland, ketiga.

Federer antara pemain yang perlu diberi perhatian terutama dalam usahanya meraih kejuaraan Grand Slam ke-21 di sini. Undian perlawanan dijadual dilangsungkan lewat hari ini.

Dalam kategori perseorangan wanita, selain Osaka yang menjadi tumpuan, kelibat naib juara tahun lalu, Serena Williams juga di depan penyokong sendiri sudah pasti ditunggu-tunggu walaupun sekadar diletakkan sebagai pilihan kelapan.

Ramai pasti ternanti-nanti apakah aksi final kontroversi antara Osaka dan Serena tahun lalu berulang lagi tahun ini atau akan ada pemain lain yang mampu memecahkan penguasaan mereka berdua?

Gelanggang keras diketahui adalah kegemaran Osaka kerana turut menjadi juara Terbuka Australia awal tahun ini. Lain-lain pemain yang dilihat mampu menyinar adalah juara Terbuka Perancis, Ashleigh Barty yang diletakkan sebagai pilihan kedua dan juara Wimbledon, Simona Halep yang diletakkan sebagai pilihan keempat.

Di celah-celah nama besar itu pula terselit nama Karolina Pliskova yang diletakkan sebagai pilihan ketiga. - AFP