Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016 itu menampilkan prestasi luar biasa sepanjang Sukan Para Asia 2018 di Jakarta selepas merangkul pingat emas dalam acara 100 meter (m), 400m dan lompat jauh kategori T36.

Mohamad Ridzuan yang lebih mesra dengan panggilan Dik Wan turut memecah satu rekod temasya dan satu rekod dunia. Dua lagi atlet negara, Amy Kwan dari sukan gimnastik dan pelumba basikal, Azizulhasni Awang masing-masing menerima imbuhan sebanyak RM133,333 dan RM113,333.33.

Amy meraih dua emas, satu perak dan dua gangsa pada Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, manakala Azizulhasni memenangi satu emas, satu perak serta satu gangsa di pentas Sukan Asia Indonesia.

Turut menerima ganjaran lumayan ialah pemain boling, Rafiq Ismail dan pasangan beregu, Andrian Ang-Tun Ameerul Al Hakim Tun Hasnul Azam yang memenangi gelaran dunia dengan jumlah keseluruhan RM160,000.

Skuad pencak silat yang meraih tiga emas, dua perak dan tiga gangsa pada Kejohanan Pencak Silat Dunia minggu lalu pula mendapat RM380,000, sementara badminton muncul sukan tertinggi menerima imbuhan sebanyak RM280,000.

Empat gelaran yang dirangkul skuad bina badan di Chiang Mai, Thailand, baru-baru ini turut melayakkan mereka membawa pulang wang tunai sebanyak RM100,000.

Jumlah keseluruhan SHAKAM 2018 hampir RM6.24 juta (RM6,236,000) dengan pecahan tiga temasya sukan iaitu Sukan Komanwel Gold Coast, Sukan Asia Jakarta-Palembang dan Sukan Para Asia Jakarta serta beberapa kejohanan dunia seperti Kejohanan Tenpin Boling Lelaki Dunia, Kejohanan Pencak Silat Dunia dan Kejohanan Bina Badan Dunia.

Sementara itu, Majlis Sukan Negara (MSN) akan menaikkan elaun bulanan sebanyak RM500 kepada pemenang pingat Sukan Asia dan Sukan Komanwel.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pemenang pingat emas dalam kedua-dua temasya itu akan menerima RM4,000 diikuti pingat perak RM3,500 dan pingat gangsa RM3,000 bermula tahun depan.

Syed Saddiq mengumumkan perkara itu pada majlis penyampaian SHAKAM 2018 di Gimnasium II Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil di sini, hari ini.

"Tahniah kepada atlet, skim SHAKAM akan diteruskan, kita akan terus membantu atlet mara ke hadapan untuk membanggakan negara, kita akan usahakan sebaik mungkin.

"Ini adalah pengiktirafan kepada mereka dan dalam masa yang sama, kepada atlet yang tidak disenaraikan bukan bermaksud mereka tidak penting, kebajikan atlet tetap menjadi keutamaan," katanya. - BERNAMA