KELANA JAYA 19 Ogos

Skuad ragbi lelaki mencerahkan peluang meraih emas apabila menang semua tiga perlawanan awal liga sepusingan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sini hari ini.

Paling penting ialah kemenangan ke atas juara bertahan, Filipina yang dianggap pencabar terkuat sehingga Malaysia hanya berani menyasarkan pingat perak sahaja pada temasya kali ini.

Namun segala kebimbangan itu akhirnya terlerai apabila skuad negara mudah meratah Filipina dengan 24-14.

“Kami berjaya balas dendam kekalahan semasa final 2015. Itu yang paling penting. Walaupun kami mungkin akan bertemu Filipina sekali lagi pada final tetapi kemenangan hari ini memberi makna yang besar dalam menaikkan moral pemain negara.

“Untuk baki dua perlawanan lagi esok menentang Thailand dan Indonesia, kami yakin walaupun kalah sekalipun dalam salah satu perlawanan, ia tidak akan menjejaskan peluang kita ke final,” kata pengurus pasukan, Amir Amri Mohamad.

Terdahulu sebelum menewaskan Filipina, skuad negara turut menewaskan Kemboja 51-0 dan Singapura 12-10 dalam satu aksi sengit antara dua negara jiran bersebelahan itu.

“Singapura memberi tentangan sengit dan tidak mustahil mereka juga mampu layak ke final bergantung kepada keputusan perlawanan menentang Filipina esok,” tambah Amir.

Sementara itu dalam ragbi wanita, harapan untuk meraih emas agak tipis selepas skuad negara tewas dua kali dan menang sekali hari ini.

Mereka tewas di tangan Singapura 0-15 dalam aksi pertama tetapi menang 38-0 ke atas Laos pada aksi kedua.

Namun kekalahan kepada Thailand 5-38 selepas itu menutup peluang skuad wanita negara terus berada dalam perebutan pingat emas.

Bagaimanapun skuad wanita masih berpeluang merebut pingat gangsa jika berjaya menewaskan Filipina esok.

Mengikut format, dua pasukan teratas dalam aksi liga sepusingan akan mara ke final manakala pasukan di tangga ketiga dan keempat akan merebut pingat gangsa.