Keadaan itu sekali gus menyukarkan pemain negara mahir dan menyesuaikan diri dengan cepat memandangkan kelajuan bola sukar dikawal dalam satu-satu masa.

Pengurus pasukan, Roslan S. Ismail berkata, setakat ini pemain negara masih cuba menentukan tahap kelajuan bola yang sesuai supaya dapat bersedia secukupnya jika diarahkan bermain pada mana-mana permukaan padang.

“Di sini ada padang rumput cow grass, ada yang jenis carpet, rumput tiruan kasar dan halus. Kalau kita tidak bersedia mengkaji kelajuan bola yang perlu digunakan, sukar buat pemain negara mengubahnya dengan cepat.

“Apa kami buat mengatasi masalah itu dengan mencuba keempat-empat padang terbabit dalam satu masa dan kemudian menetapkan kelajuan bola yang diperlukan.

“Ini penting kerana kita tidak tahu di gelanggang mana akan bermain. Buatnya tiba-tiba penganjur ubah gelanggang, kita sudah bersedia dengan catatan yang ada,” katanya ketika ditemui diperkampungan atlet di sini hari ini.

Satu lagi masalah yang perlu diberikan perhatian ialah keadaan cuaca tidak menentu ketika ini kerana hujan dengan tiba-tiba tanpa disangka.

Dengan menggunakan gelanggang terbuka tanpa bumbung, hujan boleh menyebabkan permainan tergendala beberapa jam sebelum diteruskan dan ini menjejaskan momentum permainan negara.

“Hujan di sini memang sukar diramal. Ketika panas terik boleh hujan tiba-tiba. Sekarang ini berlaku kekerapan hujan pada sebelah pagi dan petang,” katanya.

Boling padang antara sukan yang akan membuka gelanggang paling awal yakni bermula Khamis ini dengan empat kategori dipertandingkan pada minggu pertama dan empat kategori lagi minggu kedua.

Empat kategori pertama yang dipertandingkan adalah perseorangan dan empat sepasukan wanita serta beregu serta tiga sepasukan lelaki.

Cabaran perseorangan wanita akan dipikul Emma Firyana Saroji manakala empat sepasukan wanita diwakili Siti Zalina Ahmad, Auni Fathiah Kamis, Azlina Arshad dan Nur Fidrah Noh.

Beregu lelaki negara pula akan dibarisi Fairul Izwan Abd. Muin dan Muhammad Hizlee Abdul Rais manakala tiga sepasukan lelaki dianggotai Muhammad Soufi Rusli, Mohammad Syamil Syazwan Ramli dan Zulhilmie Redzuan.

Pada temasya kali ini boling padang menyasarkan satu pingat emas untuk dibawa pulang daripada lapan acara dipertandingkan tetapi setakat ini tidak mahu menyatakan dengan jelas menerusi kategori apa.

Kategori
boling padang yang dipertandingkan pada minggu pertama 
dan kedua.