Seramai 7,000 peserta mengambil bahagian dalam salah satu daripada dua larian di bawah anjuran Cabaran Lebuhraya Duo IJM Allianz dengan yang pertama Cabaran Lebuhraya NPE telah pun berlangsung pada Julai lalu.

Ketua Operasi yang juga Pengarah Urusan IJM, Datuk Soam Heng Choon berkata, dia tidak menjangka larian yang kali pertama dianjurkan pada waktu malam itu mendapat reaksi positif dalam kalangan peserta.

"Pada tahun depan kita akan cuba untuk mempromosikan dengan lebih besar kejohanan larian ini agar berupaya menarik lebih ramai peserta setiap tahun.

"Kami anggap penganjuran ini juga mencapai objektifnya iaitu ingin menggalakkan orang ramai aktif bersukan bersama keluarga dan rakan-rakan.

"Kebanyakan peserta memaklumkan mereka amat gembira kerana mendapat pengalaman kali pertama berlari di atas lebuhraya sambil menikmati pemandangan bandaraya pada waktu malam," katanya.

Larian Cabaran Lebuhraya Besraya yang berlangsung semalam menyaksikan penganjur menetapkan jarak larian lebih kompetitif iaitu 13 hingga 26 kilometer (km).

Dalam larian tersebut, tiga kategori ditawarkan iaitu Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita serta Berpasukan Campuran. - UTUSAN ONLINE