Seramai 4,000 orang terlibat membuat persembahan dalam upacara perasmian itu termasuk nyanyian dan tarian tradisi masyarakat di negara berkenaan sehingga memukau 35,000 penonton yang memenuhi stadium tersebut.

Kesemua negara mengambil bahagian dalam perarakan termasuk kontinjen seramai 150 orang dari Malaysia yang didahului jaguh lompat kijang negara, Muhamad Hakimi Ismail sebagai pembawa Jalur Gemilang.

Jelas kontinjen negara begitu segak bergaya memperagakan Baju Melayu sehingga turut mendapat tepukan gemuruh daripada penonton yang membanjiri stadium berkenaan.

Perasmian Sukan Komanwel 2018 disempurnakan oleh Putera Charles yang menjadi tetamu kehormat bersama isterinya, Camilla, yang menandakan bermulanya ‘pertarungan’ antara 6,600 atlet dari 71 buah negara.

Lebih menarik dalam upacara perasmian tersebut, teknik moden digunakan untuk memukau penonton apabila secata tiba-tiba stadium berkenaan bertukar menjadi sebuah ‘pantai’ dengan pelbagai aktiviti riadah yang turut melibatkan pelayar dan peluncur.

Begitu juga dengan replika gergasi Migalo atau ikan paus berbulu putih yang menjadi lambang alam sekitar Australia muncul berenang ke dalam stadium berkenaan sebelum upacara berakhir dengan percikan bunga api.

Esok bermula cabaran negara dalam temasya selama 11 hari itu yang digalas oleh 178 atlet. Antaranya adalah pemenang pingat Sukan Olimpik dan juara dunia iaitu Datuk Lee Chong Wei, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, Azizulhasni Awang dan Cheong Jun Hoong.

Kontinjen negara juga memiliki juara Sukan Komanwel dua kali, Datuk Nicol David dan juara menembak Asia, Jonathan Wong manakala beberapa nama dari skuad olahraga seperti Nauraj Singh Randhawa dan Muhammad Hakimi Ismail pula menunjukkan peningkatan mendadak.

Maka tidak hairanlah Pengarah Program Podium, Tim Newenham yakin misi yang diletakkan dibahunya oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bagi meraih kedudukan dalam kelompok 10 negara terbaik mampu dipenuhi.

“Kami melakukan analisis tentang berapa pingat yang kami rasa boleh dimenangi,” katanya dalam sidang akhbar semalam.

Malaysia memburu emas pertamanya di gelanggang angkat berat di Carrara Sports and Leisure Centre di mana Mohd. Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad dilihat berpeluang untuk memenangi pingat emas pertama untuk negara menerusi kelas 56kg.

Pingat kedua pula dijangkakan hadir daripada Muhamad Aznil Bidin yang akan bertanding dalam kelas 62kg dengan perak jadi sasaran.

“Selama empat tahun ini mereka berhempas pulas dalam latihan. Jadi untuk sehari ini saya harapkan mereka lupakan kalau ada sedikit kecederaan dan kesakitan,” kata pemenang tiga emas angkat berat 56kg dalam temasya 2014 di Glasgow, Amirul Hamizan Ibrahim yang kini menjadi pengurus pasukan.

Malaysia menghantar 10 atlet angkat berat yang kesemuanya akan meraih pengalaman pertama bersaing dalam Sukan Komanwel.

Sementara itu, sebanyak 12 sukan lain akan turut membuka gelanggang esok termasuk gimnastik artistik, lumba basikal trek, renang dan triatlon yang kesemuanya menawarkan pingat.

Sukan lain yang turut memulakan pertandingan esok adalah badminton, bola keranjang, tinju, hoki, boling padang, bola jaring, skuasy dan pingpong.

Jika berjaya mencapai sasaran tujuh emas, pencapaian itu masih bukan yang terbaik dalam sejarah penyertaan Malaysia. Kontinjen negara senelum ini meraih 10 emas ketika menjadi tuan rumah pada 1998, tujuh emas pada 2006 di Melbourne dan yang terbaik setakat ini 12 emas di New Delhi pada 2010.