KBS dalam satu kenyataan memberitahu, agenda membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat perlu dilaksanakan secara berterusan menggunakan konsep yang lebih kontemporari bagi menjamin agenda ‘sukan untuk semua’ kekal relevan.

Malaysia Sports Challenge merupakan salah satu aktiviti di bawah inisiatif Bulan Sukan Negara yang telah mendapat sokongan untuk membudayakan sukan dalam sektor korporat.

“Pelbagai siri pertemuan telah dan akan dilaksanakan kepada sektor korporat bertujuan untuk menambah peluang penajaan, penganjuran aktiviti dan program sukan untuk syarikat korporat serta mempromosikan gaya hidup sihat dengan lebih inklusif.

“Terdapat pelbagai aktiviti yang juga akan dijalankan bersempena Bulan Sukan Negara dalam usaha menambah baik program sebelum ini termasuk Hari Sukan Negara yang akan berlangsung pada 12 Oktober selain ekspo sukan serta kovensyen khas untuk wanita dalam sukan.

“Kerjasama dengan pihak swasta dalam memberikan khidmat serta kemudahan secara percuma atau dalam bentuk potongan harga selain penganjuran program sukan antarabangsa atau kebangsaan bakal diberikan bantuan khas,” katanya.

KBS mengambil inisiatif untuk menganjurkan program Bulan Sukan Negara untuk tempoh satu bulan pada bulan Oktober ini.-UTUSAN ONLINE