Nada itu dinyatakan Zainal Abidin yang juga bekas jurulatih Pahang, Selangor dan Pulau Pinang sejurus menandatangani kontrak selama setahun bersama skuad Sang Kancil, hari ini.

Zainal Abidin berkata, beliau sudah pun mula merangka sebuah pasukan sebagai perancangan bagi memulakan persaingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

“Secara kasarnya saya ada gambaran pemain yang nak di­serap ke Melaka United tetapi nama-nama pemain itu belum boleh diputuskan buat masa ini.

“Antaranya beberapa pemain dari tiga ke empat pasukan le­bih atas daripada Melaka United yang menamatkan saingan di tangga ketujuh pada saingan Liga Super 2018,” katanya ketika sidang akhbar selepas menandatangani kontrak sebagai Ketua Jurulatih Melaka United di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini hari ini.

Hadir sama Presiden Persa­tuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Adly Zahari; Naib Presiden MUSA, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi dan Naib Presiden MUSA, Mohd. Ashiq Abd. Samad.

Jelas Zainal Abidin, 57, beliau juga berbesar hati dilantik sebagai ketua jurulatih baharu Melaka United bagi menggantikan E. Elavarasan yang enggan menyambung kontrak baharu bersama MUSA selepas membimbing pa­sukan selama setengah musim.

Katanya, dengan kepercayaan yang diberikan Ketua Menteri serta seluruh kepimpinan MUSA untuk membimbing pasukan itu dan akan melakukan yang terbaik untuk Melaka United.

“Saya akan laksakan tugas yang diamanahkan dengan penuh tanggungjawab berbekalkan segala kemudahan serta barisan pemain yang ada dan boleh memberi impak baik kepada pasukan era baharu ini,” ujarnya.