Yusri berkata, pasukannya tidak boleh terus ‘tumpang’ kerana ia akan menyulitkan kedudukan The Red Warriors (TRW) untuk keluar dari kedudukan di tangga tercorot liga ketika ini.

“Berdepan Negeri Sembilan bukan tugas yang mudah, tambahan pula Kelantan beraksi tanpa kudrat pemain import.

“Namun saya tetap menaruh kepercayaan kepada barisan pemain tempatan yang ada ketika ini. Cuma bagi saya mereka lebih tajam dihadapan pintu gol terutamanya barisan penyerang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Yusri memberitahu, dia turut mengingatkan anak-anak buahnya supaya mengamalkan corak permainan terbuka.

Katanya, situasi itu akan menghukum Kelantan dengan serangan balas pantas skuad kendalian Mohd Zan Mat Aris.

“Saya telah ingatkan mereka agar lebih fokus dan kita terpaksa ubah sedikti percaturan taktikal kerana perlu mengejar mata memandangkan pasukan di atas iaitu Sarawak dan UKM FC tidak terlalu jauh perbezaan mata.

“Apa yang perlu saya fikirkan untuk pertemuan ini adalah kita kena berusaha mendapatkan mata bagi memastikan Kelantan kekal di Liga Premier terlebih dahulu,”ujarnya.

Selepas mengharungi 12 perlawanan Kelantan ketika ini menghuni tangga tercorot Liga Perdana dengan mengumpul lapan mata dan hanya dibezakan satu mata dengan Sarawak di tangga kesepuluh. - UTUSAN ONLINE.