Kedengaran tidak komersial tetapi pasukan inilah yang menjadikan Liga Amatur (Liga M3) yang diperkenalkan buat kali pertama musim ini menarik.

Liga M3 yang dulunya dikenali sebagai Piala FAM diberi nafas baharu, dan kini berbaki 10 perlawanan lagi untuk menentukan juara dan naib juara, sekali gus bakal dinaikkan ke Liga Perdana.

Selain M3, turut menjadi sebahagian Liga Bola Sepak Amatur (AFL) adalah Liga M4. Kedua-dua liga ini menghimpunkan pasukan kerdil dari pelbagai latar belakang - kampung, taman perumahan, flat dan bandar.

Bekas penyerang kebangsaan, Azman Adnan memilih untuk membimbing kelab yang dikenali sebagai ‘budak flat’, Tun Razak FC.

DDM FC pula, biarpun hanya berstatus komuniti memiliki pemain import dari Argentina, Nicolas Dul.

Banggol Tokku yang berasal dari Kuala Terengganu mengharungi musim pertama yang agak baik apabila menduduki tangga kelima manakala Teratak Twelve FC yang bersaing dalam Liga M4 memasang impian untuk menyertai Liga M3 musim depan.

“DDM FC ditubuhkan untuk komuniti Taman Me­lawati serta membawa semangat taman itu, jadi saya harap penduduk setempat datang beramai-ramai untuk memberi sokongan,” kata Pengurus DDM FC, Firdaus Kamar Ariff.

Bagi Penaung Teratak Twelve FC, Datuk Kamil Mohktar, langkah AFL memperkenalkan Liga M3 dan M4 membuka peluang luas buat pemain dari pelbagai latar belakang untuk bersaing dalam pertandingan kompetitif.

Ada pemain tidak mendapat pendidikan formal dalam bola sepak tetapi berbakat besar, ada yang baru berusia belasan tahun dan ada juga yang datang dari kalangan bekas pemain-pemain terlatih.

“Ini platform yang baik buat pasukan-pasukan yang kurang dikenali bermain dalam pertan­dingan yang lebih sistematik.

“Ia juga peluang buat pemain dari seluruh pelosok kampung, luar bandar dan bandar untuk menonjolkan diri mereka ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya.