Nwakaeme yang diberi jolokan ‘Orang Besi’ oleh peminat bola sepak tanah air dikhabarkan dalam perjalanan ke Malaysia seterusnya ke negeri ini untuk menjalani latihan bersama skuad Tok Gajah.


Khabar angin yang bertiup sejak kelmarin itu diperkukuhkan lagi dengan dua video yang dimuat naik oleh Nwakaeme menerusi Intsa Story di Instagramnya semalam.


Video pertama menunjukkan Nwakaeme memandu keretanya dengan memakai jersi pasukan Pahang edisi 2015 bersama kasut bola dan menuju ke padang untuk menjalani latihan berhampiran rumahnya di Nigeria. 


Video berdurasi sembilan minit 20 saat itu menyaksikan Nwakaeme bertutur dalam bahasa Melayu dengan mempelawa jurulatih Pahang, Dollah Salleh bermain bola bersamanya. 


“Hei bos, bos datang sinilah. Bos Dollah, datang sini main bola di Nigeria,” katanya. 


Nwakaeme turut menyatakan jersi nombor 10 skuad Tok Gajah hanya ada satu sahaja iaitu miliknya. 


Video kedua berdurasi 39 minit 34 saat pula menyaksikan Nwakaeme berenang dan berehat selepas menjalani latihan sambil berinteraksi menerusi panggilan video bersama beberapa penyokong Tok Gajah. 


Melalui satu perbualan, Nwakaeme menyatakan beliau akan ke Pahang dengan penerbangan dari Nigeria malam tadi. 


Nwakaeme turut menyanyikan lagu Ale-ale Tok Gajahku sambil berehat di tepi kolam renang. 


Sementara itu, Nwakaeme turut memuat naik satu video beliau sedang sarapan pagi dan membawa sebuah beg bagasi hari ini dipercayai dalam perjalanan ke Malaysia. 


Menurut sumber dalaman Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Nwakaeme dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam ini. 


Difahamkan, Nwakaeme akan terus dibawa ke Kuantan dan menjalani latihan pada keesokannya di Taman Gelora, Kuantan pukul 5 petang. 


Pemain berusia 33 tahun itu pernah beraksi cemerlang bersama skuad Tok Gajah selama dua musim pada 2014 dan 2015.


Nwakaeme yang bergandingan dengan pemain import dari Argentina, Matias Conti berjaya menjulang pasukan Pahang untuk muncul juara Piala Sumbangsih, Piala FA dan Piala Malaysia. - UTUSAN ONLINE