Dalam perlawanan tersebut, veteran Singa Utara berjaya menewaskan PPKL dengan jaringan 3-1.

Gol-gol veteran Singa Utara dijaringkan oleh Abdul Karim Ali, Suhairi Abdul Karim dan Roslin Abdul Rahman manakala gol tunggal PPKL disumbat oleh bekas pemain kebangsaan, Fauzi Nan.

Lebih istimewa, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merupakan pengasas pertandingan yang telah bermula sejak tahun 1992 itu berkenan menyempurnakan majlis penyampaian hadiah di akhir perlawanan tersebut.

Berangkat sama ialah, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda- anakanda baginda berdua iaitu Puteri Sharifah Farah Adriana Jamalullail serta Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Perlawanan yang dikenali sebagai ‘Bola Raya’ itu merupakan aktiviti tahunan yang bertujuan merapatkan lagi hubungan silatulrahim melalui semangat kesukanan dalam kalangan anak-anak Perlis khususnya dari Lembah Klang yang pulang berhari raya.

Terdahulu, Yang Dipertua PPKL, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman semasa berucap memaklumkan bahawa anak-anak Perlis di Kuala Lumpur akan berkumpul dalam majlis Hari Raya Aidilfitri dan Hari Keluarga di Kampung Pengantin, Danau Kota, pada 1 Julai depan.

Selain itu katanya, beberapa aktiviti lain juga sudah diatur seperti kayuhan amal dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis pada Julai depan.

“Selain itu turut bakal diadakan pertandingan futsal terbuka di D’Futsal Centre Kangar (Ogos), pertandingan bowling di Kuala Lumpur (September), aktiviti memanah (November) dan ekuin (Disember) selain kembara bermotorsikal,” katanya. - UTUSAN ONLINE