Stadium USM di sini akan menjadi gelanggang tuan rumah.

USM FC bakal menggegarkan saingan kali ini dengan penampilan sulung Liga Perdana 2010 menentang Pos Malaysia pada 11 Januari ini.

Pasukan yang dibimbing oleh bekas jurulatih skuad Liga Super Pulau Pinang, S. Veloo, bakal menggabungkan 10 pemain profesional bersama-sama 14 pemain USM sedia ada.

Antaranya, ialah dua bekas pemain Liga Super Pulau Pinang, M. Prakash, Mohd. Noraslan Md. Makhtar, dua bekas pemain Liga Perdana Kedah iaitu Mohd. Fakhrul Radzi Yaacob dan Rohaizat Md. Ali dan bekas pemain Proton FC, Mohd. Redzuan Nawi.

Veloo berkata, beliau memikul tanggungjawab besar mengendalikan pasukan 'baru' itu.

Namun, katanya dia optimis para pemainnya mampu memberi cabaran hebat kepada pasukan lawan.

"Keputusan perlawanan pertama besar maknanya kepada pasukan ini dan saya positif gabungan pemain pelbagai latarbelakang dan pernah beraksi dalam Piala FA sebelum ini bakal digunakan sebaik mungkin," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita majlis penyerahan bendera USM dan memperkenal pemain serta pengurusan pasukan di sini semalam.

Pada majlis itu, USM FC turut menerima sumbangan berjumlah RM200,000 bagi kos latihan.