Kata Rush, dua kelab berkenaan mampu menjadi penyelamat buat Bale untuk mendapatkan prestasi terbaik terutama selepas lama disisihkan oleh kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid.

“Melihat kepada situasi Manchester United dan Spurs musim lalu, saya fikir dia akan menuju ke arah itu.

“Apabila sebuah kelab mahu menyingkirkan anda sedangkan dia pula mahu kekal, ia situasi yang sangat sukar dan saya memahaminya.

“Bagi saya dia masih boleh bermain di tahap tertinggi selama beberapa tahun lagi dan ia bergantung kepada kelab mana yang mahu membimbingnya,” kata bekas pemain Liverpool berkenaan.

Sepanjang bersama Madrid di bawah bimbingan Zinedine Zidane, Bale dilihat semakin tersisih setelah gagal mengukuhkan tempatnya dalam kesebelasan Los Blancos.

Bale hanya menjadi pemain gantian yang tidak digunakan dalam kekalahan terakhir Madrid kepada Real Betis di tempat sendiri malah Zidane pernah memberitahu tidak akan menurunkan pemain Wales itu biarpun masih boleh membuat pertukaran pemain.

Ketika ini Madrid telah berbelanja besar untuk membawa masuk Eden Hazard bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Cristiano Ronaldo manakala Luka Jovic dipancing daripada Eintracht Frankfurt bagi meningkatkan lagi pilihan di bahagian serangan pasukan. - AGENSI