United semakin hampir meminjamkan Sanchez ke Inter Milan, selepas kelab Serie A itu bersetuju membayar separuh gajinya yang bernilai 500,000 pound (RM2.57 juta) seminggu.

Ini bermakna Red Devils terpaksa membayar separuh lagi jumlah gaji Sanchez sehingga musim ini berakhir. United mendesak untuk meletakkan klausa tidak boleh dirunding ke dalam perjanjian itu, yang mana menyaksikan Inter akan menandatangani bekas bintang Arsenal tersebut secara tetap dengan harga 20 juta pound (RM102 juta) pada tahun depan.

Bagaimanapun, mereka masih perlu mencapai persetujuan berhubung 52 juta pound (RM267 juta) yang masih menjadi teka-teki siapakah yang akan membayar baki dua tahun kontrak Sanchez bersama United sehingga 2020.

Namun, kedua-dua kelab dijangka cuba untuk berkompromi dan rundingan semula bakal diadakan pada Isnin. Inter berjarap dapat mengumumkan perjanjian itu sebelum mereka berdepan Lecce dalam perlawanan sulung Antonio Conte di San Siro sejak dia mengambil alih pasukan selaku jurulatih.

Conte menggesa majikan baharunya agar memeterai perjanjian bagi mendapatkan khidmat Sanchez, 30, selepas berjaya meyakinkan Inter untuk menandatangani Romelu Lukaku dari United menerusi perjanjian yang berpotensi meningkat kepada 73 juta pound (RM375 juta).

Bos United, Ole Gunnar Solskjaer memaklumkan kepada Naib Pengerusi Eksekutif, Ed Woodward agar membawa Lukaku keluar dari kelab selepas penyerang Belgium itu tidak menyertai pasukan dalam sesi latihan pra-musim selama dua hari. – AGENSI