BIBI RAMJANI ILIAS KHAN

Usul undi tidak percaya itu akan dilakukan menerusi Kongres Luar Biasa (EGM) KAFA yang dijangkakan pada Jun selepas umat Islam menyambut Aidilfitri.

Yang Dipertua PBJ Tanah Merah, Kamarudin Mohammad berkata, perkara itu akan dilakukan seadainya usahawan batik itu tidak melepaskan jawatannya secara terhormat dalam masa terdekat.

“Kesemua ahli gabungan sudah bersetuju dengan cadangan tersebut dan menunggu masa yang sesuai untuk bertindak. Jadi, kami (PBJ) menggesa presiden (Bibi Ramjani) untuk berundur secara terhormat dalam tempoh terdekat,” katanya.

Tambahnya, sekiranya Bibi Ramjani masih berdegil pihaknya akan berbuat demikian.

Tindakan PBJ itu seolah-olah memberi kata dua kepada Bibi Ramjani selepas ‘hilang sabar’ dengan kegagalan usahawan batik itu mengurus tadbir badan induk bola sepak Kelantan sejurus diberi mandat pada September 2017 lalu.

Langkah tersebut menjadi jalan terakhir PBJ untuk ‘menebus’ kesilapan lalu dengan mengangkat Bibi Ramjani sebagai Presiden KAFA sebelum ini.

Sebelum ini, Kelab Penyokong The Red Warriors KLIA mendesak Bibi Ramjani perlu segera berundur bagi mengelak lebih banyak ‘malapetaka’ menimpa TRW. Kemarahan penyokong TRW terhadap Bibi Ramjani tampak sukar dibendung apabila mereka menaikkan sepanduk mendesak usahawan batik itu segera berundur.

Sepanduk yang tertera ‘Sila Letak Jawatan Pemusnah Bola Sepak Kelantan FA, ‘Rombak KAFA’ dan banyak lagi digantung sekitar Kota Bharu, Pasir Mas dan Kuala Krai hari ini. - UTUSAN ONLINE.